'Harap jangan cakap sahaja'
SHAH ALAM - Persatuan Pemandu Grab Malaysia menuntut kata-kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk merealisasikan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig (SEGiM).
Presidennya, Arif Asyraf Ali berkata, persatuan itu akan meneruskan ‘Kempen Grab Blackout’ bagi menuntut hak penunggang p-hailing selagi upah penghantaran yang ditetapkan masih murah.
“Masalah kawalan harga tidak menentu akan terus berlaku selagi SEGiM tidak ditubuhkan dan pekerja akan sentiasa menyuarakan rasa tidak puas hati mereka kepada kerajaan.
“Rakyat nak tengok hasil, jangan hanya bercakap tanpa sebarang tindakan,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Ahmad Zahid memaklumkan akan berusaha merealisasikan penubuhan SEGiM susulan gesaan penunggang p-hailing baru-baru ini.
Sehubungan itu, beliau akan cuba mendapatkan persetujuan Jemaah Menteri memandangkan lebih 1.2 juta individu terbabit dalam sektor ekonomi gig.
Dalam pada itu, Arif Asyraf berkata, penurunan kadar upah itu tidak adil kepada penunggang p-hailing kerana komisen yang diterima oleh pihak syarikat tetap sama dan masih mendapat hasil.
“Syarikat sudah pasti berorientasikan keuntungan, walaupun harga turun tetapi ia tidak akan memberi kesan.
“Jadi, penubuhan SEGiM bertujuan untuk mengawal selia upah penghantaran yang sebelum ini ditetapkan terlalu murah,” jelasnya.
Tambah beliau, penunggang p-hailing terpaksa menanggung beban yang tinggi akibat peningkatan kos sara hidup dan penyelenggaraan kenderaan.
“Pendapatan yang diperoleh tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan lebih-lebih lagi apabila terdapat potongan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO),” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!