Warga asing yang kini makan tuan
MERAK Jalanan kalau selaku pemilik rumah bukan setakat marah, malah mungkin mengamuk jika rumah yang kita beli dan tidak diduduki atas faktor-faktor tertentu, tiba-tiba ada penghuni haram yang bertahun-tahun tinggal percuma.
Bukan sahaja menceroboh, malah mungkin kalau tidak didatangi, sudah beranak pinak di dalam rumah yang ditinggalkan itu.
Itu kisah yang Merak Jalanan baca di Facebook yang dikongsikan seorang pengguna yang terkejut rumah kawannya di Puchong didiami warga asing yang bukan penyewa dan berlagak seperti pemilik rumah.
Cerita lelaki itu, rakannya memohon bantuannya untuk menjualkan rumah tersebut kerana sudah lama tidak diduduki biarpun bertahun rumah itu telah dibeli.
Bermula dari situlah, kisah rumah dicerobohi warga asing itu terbongkar.
Siap ada penyambungan elektrik haram dan saluran air paip dari rumah berhampiran.
Cukup mudah untuk mereka hidup.
Di Johan Setia, Klang, lain pula kisahnya, bukan melibatkan rumah tetapi melibatkan ribuan tanah kita yang diceroboh warga asing, dijadikan ladang sayuran.
Terkejut juga Merak Jalanan baca keberanian mereka meneroka kira-kira 2,585.4 hektar di Kampung Johan Setia itu.
Malah mereka mengaut keuntungan atas angin melalui hasil tuaian bertan-tan sayur setiap hari.
Bayangkan berapa keuntungan yang mereka telah jana melalui pencerobohan itu?
Adakah mereka warga asing T20 di bumi Malaysia?
Dua kisah yang didedahkan minggu lalu membuatkan Merak Jalanan terfikir, apakah kini warga asing mula makan tuan di tanah kita?
Di kala kita memberi peluang pekerjaan kepada mereka, secara senyap-senyap mereka memanipulasi kelemahan kita untuk kesenangan mereka walaupun sudah tentu mereka tahu apa yang dilakukan itu menyalahi undang-undang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!