Sasar lebih ramai pelancong bermalam di Perlis
PADANG BESAR - Kerajaan Perlis mensasarkan lebih ramai pelancong yang akan singgah dan bermalam di negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Asmaiza Ahmad berkata, pada tahun lalu, lebih lima juta pengunjung masuk ke Perlis namun hanya 100,000 sahaja yang direkodkan bermalam di negeri ini.
Menurutnya, kerajaan memperuntukkan RM4.1 juta bagi memberi fokus kepada penambahbaikan lokasi pelancongan, agro pelancongan, sukan dan juga kursus ataupun seminar berkaitan pelancongan.
"Kita akui agak sukar menarik pelancong luar datang ke negeri ini namun ia tidak menjadi isu sekiranya semua pihak berganding bahu," katanya ketika sidang media selepas majlis perasmian kempen TMM 2020 di Padang Besar baru-baru ini.
Asmaiza berkata, pelbagai aktiviti akan dilaksanakan bagi menyemarakkan lagi misi nasional sempena TMM 2020.
"Dalam perancangan, kita akan adakan Pesta Angin Timur, Pesta Air, Pertandingan Woodball dan banyak lagi," katanya.
Beliau berkata, melalui program sebegini ekonomi rakyat tempatan juga dapat ditingkatkan melalui penjualan produk mereka ketika program berlangsung.
Katanya, hasrat bagi meningkatkan kedatangan pelancong boleh dicapai sekiranya semua pihak terutama individu yang terlibat dengan industri pelancongan memberikan kerjasama yang padu.
"Mereka seharusnya berfikir lebih kreatif dalam menggunakan prasarana pelancongan yang telah disediakan kerajaan.
"Saya juga dalam proses menemui golongan ini bagi membincangkan idea yang lebih kreatif dalam menyediakan pakej pelancongan bagi menarik pengunjung untuk datang dan bermalam di Perlis," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!