Tambah syarat kesihatan untuk naik taraf lesen B
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin memberi khabar gembira kepada pemegang lesen motosikal Kelas B2 apabila menegaskan kerajaan akan mencari mekanisme untuk mempercepatkan pelaksanaan cadangan menaik taraf lesen memandu motosikal kelas berkenaan secara automatik kepada Kelas B.
Apa yang dimaklumkan adalah rentetan cadangan yang diutarakannya pada 22 Ogos tahun lalu sambil menegaskan bahawa tidak ada masalah berhubung pelaksanaan itu kerana penunggang motosikal yang mempunyai lesen Kelas B2 memiliki pengalaman menunggang kenderaan berkenaan.
Cadangan awal yang diutarakan itu mendapat sedikit tentangan daripada beberapa pihak yang melihat bahawa ia akan menimbulkan implikasi kepada sistem keselamatan jalan raya negara.
Malah ramai yang meluahkan kerisauan sekiranya penambahbaikan itu melibatkan semua pemegang lesen Kelas B2, mungkin boleh menyebabkan pertambahan kadar kemalangan motosikal yang tinggi di Malaysia.
Ini kerana statistik Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman mendedahkan bahawa penunggang berumur 16 hingga 35 tahun paling ramai terlibat dalam kemalangan jalan raya.
Namun melalui pengumuman terbaharu itu, Ahmad Zahid memaklumkan ia terhad kepada penunggang yang berumur 35 tahun dan ke atas serta mesti memegang lesen Kelas B2 untuk tempoh tertentu.
Ini mungkin lebih baik kerana pada usia 35 tahun dan sudah memegang lesen berkenaan dalam tempoh tertentu, ia mungkin lebih berpengalaman selain mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga dan sebagainya.
Apa yang diumumkan itu juga sedikit sebanyak memberi penambahbaikan kepada cadangan terdahulu sekali gus melegakan banyak pihak yang sebelum itu melihat idea yang dilontarkan lebih mendatangkan keburukan dan hanya bersifat populis semata-mata untuk meraih sokongan golongan muda.
Cuma pada ketika ini, adalah lebih baik menambah satu lagi syarat di mana Kementerian Pengangkutan perlu bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam memastikan bahawa pemegang lesen Kelas B2 yang berumur 35 tahun ke atas bebas daripada sebarang penyakit berbahaya.
Jika ada, kelayakan automatik itu perlu dipertimbangkan kerana penyakit berbahaya itu boleh mengurangkan kompetensi seseorang penunggang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!