Siasat dahulu sebelum cancel culture

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

AKHIR-akhir ini, fenomena budaya penolakan atau cancel culture menjadi perbincangan hangat dalam kalangan pengguna media sosial apabila segelintir daripadanya menggunakan jari jemari, masa dan tenaga yang mereka ada untuk memboikot atau memulaukan orang lain.

Gerakan sejak 2017 yang berupaya menghapuskan golongan dianggap bermasalah atau berperilaku negatif sehingga menyinggung perasaan orang ramai itu sering ditujukan kepada kategori berkuasa contohnya selebriti, pempengaruh, agamawan bahkan tokoh politik.

Kewujudannya menimbulkan pro dan kontra kerana masyarakat berasa berhak untuk melontarkan pandangan di media sosial dengan alasan kebebasan bersuara, tetapi mengetepikan perasaan orang lain kerana gagal menilai sesuatu isu dari pelbagai sudut.

Di beberapa negara seperti Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan dan Jepun, cancel culture memainkan peranan penting dalam menentukan sejauh manakah seseorang yang dikecam warga maya mampu mempertahankan imej serta reputasinya sehingga ke penamat.

Mengambil contoh aktor Korea Selatan iaitu Kim Seon-ho yang popular dengan siri drama Hometown Cha Cha Cha pada 2021, lakonannya menuai pujian ramai pada waktu itu, tetapi kepercayaan masyarakat di sana malah peminat dari luar negara mula berubah apabila beliau disyaki sebagai individu menghamilkan bekas teman wanitanya.

Penulis masih ingat lagi rentetan daripada kes itu, hampir kesemua syarikat tajaan yang menjadikan Seon-ho sebagai duta, menarik semula promosi iklan di media sosial masing-masing dan menurunkan papan tanda gergasi terpapar wajahnya.

Dapat disimpulkan, netizen Korea Selatan lebih ekstrem jika mahu menamatkan perjalanan karier seseorang seakan-akan manusia tidak boleh melakukan kesalahan waima sekecil zarah kerana kemungkinan terlalu obsesi dengan dunia artis atau sememangnya berniat jahat.

Segelintir mangsa cancel culture mungkin muhasabah diri dan jadikannya sebagai iktibar hidup agar mereka boleh berubah menjadi lebih baik pada masa akan datang tetapi ada juga yang berfikiran sebaliknya, ia bergantung kepada tahap penerimaan masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Bayangkan, dengan hanya bermodalkan kata-kata makian di media sosial oleh netizen yang datang entah dari mana mampu menjejaskan kerjaya seseorang dalam jangka masa pendek dan panjang.

Sepertimana kata orang-orang dahulu, ‘pena lebih tajam daripada mata pedang’, netizen tunggu masa sahaja untuk individu lain terlibat dengan sesuatu kontroversi dan terus melampiaskan amarah dengan hanya ‘serkap jarang’ tanpa menunggu sebarang penjelasan.

Baru-baru ini, industri hiburan tanah air heboh dengan berita penyampai radio terkenal, Tyzo Xander atau Tuah Zolqarnain Idris yang ditamatkan kontrak oleh pihak Suria FM dua bulan sebelum tarikh asal kontraknya berakhir.

Susulan itu, Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin menjadi mangsa sasaran netizen apabila dituduh iri hati dan bertanggungjawab terhadap penamatan kontrak Tyzo itu tanpa menunggu penjelasan sebenar daripada pihak Suria FM sendiri.

Persoalannya, adakah Malaysia juga akan mengikuti jejak langkah negara lain sekiranya mahu memangkah seseorang yang popular dan menamatkan karier mereka dengan cara menjatuhkan imej di media sosial?

Justeru, pendekatan yang seimbang untuk menilai keberkesanan cancel culture sebagai instrumen perubahan sosial wajar diperkemaskan misalnya masyarakat perlu mengadakan ruang untuk refleksi diri secara mendalam tentang etika, nilai moral dan keadilan serta kebebasan berekspresi di media sosial.

Pemahaman terhadap literasi media juga penting kerana orang ramai wajib menapis segala maklumat yang dihidangkan di platform digital dan pandai membezakan baik buruk sebelum membuka ruang perdebatan untuk menyingkap sebuah permasalahan dengan bijak tanpa berat sebelah.

* Aisyah Basaruddin ialah wartawan Meja Am Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!