RISDA giat lahir usahawan pekebun kecil

Manndzri (dua dari kanan) mendengar penerangan daripada Bani Hakim mengenai operasi penghasilan produk Nouriwellness.
Manndzri (dua dari kanan) mendengar penerangan daripada Bani Hakim mengenai operasi penghasilan produk Nouriwellness.
A
A
A


PASIR GUDANG - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menawarkan insentif bantuan sehingga RM20,000 kepada setiap pekebun kecil bagi menceburi bidang keusahawanan.

Tawaran bantuan itu dinyatakan Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib bagi membantu golongan itu susulan daripada kedudukan harga pasaran komoditi getah yang kurang memberangsangkan ketika ini.

Melalui insentif itu jelasnya, ia mampu memastikan para pekebun kecil menjana pendapatan baharu di samping meneruskan aktiviti penanaman dan pengeluaran getah secara konsisten.

Insentif keusahawanan yang ditawarkan RISDA untuk para pekebun kecil getah, antaranya menerusi Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) melibatkan Skim AET Belia, Skim Insentif Start-Up Individu dan Skim Insentif Nano.

"Bantuan (keusahawanan) ini merupakan usaha kerajaan untuk memperkasakan pekebun kecil dengan sasaran pencapaian pendapatan RM4,500 sebulan menerusi aktiviti keusahawanan dan penanaman getah menjelang akhir 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program lawatan kerja ke Projek Usahawan Bimbingan RISDA Negeri Johor di Arena Traditional Food di Bandar Bestari Perdana dan Nouriwellness di Taman Desa Rakyat, di sini pada Ahad.

Manndzri mencuba pembuatan rempeyek secara moden yang dihasilkan Arena Traditional Food di Pasir Gudang, Johor.
Manndzri mencuba pembuatan rempeyek secara moden yang dihasilkan Arena Traditional Food di Pasir Gudang, Johor.



Sambil memberikan contoh Skim AET Belia, Manndzri memberitahu anak-anak pekebun kecil berusia antara 18 sehingga 40 tahun berpeluang menyertai usahawan muda bimbingan RISDA dengan nilai bantuan sehingga RM15,000 seorang.

Artikel Berkaitan:


Bagi Skim Insentif Start-Up Individu, bantuan kewangan sehingga RM10,000 disediakan kepada pekebun kecil getah yang baru memulakan perniagaan atau telah menjalankan perniagaan kurang tiga tahun dengan nilai jualan tidak lebih RM60,000 setahun.

Manakala bagi Skim Insentif Nano, beliau menyatakan ia dikhaskan kepada pekebun kecil yang mempunyai perniagaan melebihi tiga tahun dengan nilai jualan antara RM60,000 sehingga RM150,000 setahun manakala jumlah bantuan yang disediakan adalah sebanyak RM20,000 setahun seorang.

Di bawah insentif-insentif tersebut, usahawan pekebun kecil getah bimbingan RISDA akan menerima menerima bantuan dalam bentuk mesin dan peralatan, kos penyediaan tapak, papan tanda perniagaan, bahan mentah dan sebagainya.

Malah, bantuan itu turut diperluas kepada pembinaan dan baik pulih premis perniagaan, insuran serta lain-lain input yang mampu melancarkan operasi perniagaan.

Perluasan program, insentif

Dalam pada itu, Manndzri memberitahu, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah memperuntukkan RM65 juta menerusi RISDA untuk melaksanakan program AET dan Program Pembangunan Usahawan yang melibatkan jumlah keseluruhan peserta seramai 8,000 orang.

"Inisiatif peningkatan ekonomi termasuk keusahawanan ini merupakan salah satu daripada agenda proaktif RISDA di bawah Program Tanam Semula Getah khusus untuk meningkatkan pendapatan golongan pekebun kecil getah,” jelasnya.

Tambah beliau, mana-mana individu layak memohon dengan syarat memiliki tanah yang sah dengan jumlah keluasan antara 0.1 hektar sehingga 40 hektar.

Bagi pekebun kecil getah atau orang awam yang berminat dengan bantuan penanaman getah serta bantuan lain, mereka boleh mendapatkan maklumat lanjut di pejabat RISDA berhampiran atau layari www.risda.gov.my.

RISDA berjaya tingkat pendapatan, taraf hidup pekebun kecil - Usahawan

Manndzri (tiga dari kiri) meneliti produk rempeyek dan kuih ros yang dihasilkan Arena Traditional Food di premis Arena Traditional Food di Bandar Bestari Perdana, Pasir Gudang pada Ahad.
Manndzri (tiga dari kiri) meneliti produk rempeyek dan kuih ros yang dihasilkan Arena Traditional Food di premis Arena Traditional Food di Bandar Bestari Perdana, Pasir Gudang pada Ahad.



PASIR GUDANG - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berjaya membangunkan taraf hidup para pekebun kecil getah menerusi program keusahawanan yang dijalankan oleh agensi itu.

Kejayaan RISDA itu diterjemahkan oleh Wafanida Muniran, 24, yang mana pendapatannya ketika ini mencecah RM314,700 setahun hasil daripada aktiviti perusahaan makanan rempeyek dan kuih ros sejak empat tahun lalu.

Mengusahakan produk atas jenama Arena Traditional Food, beliau yang merupakan anak pekebun kecil memberitahu telah menerima bantuan daripada RISDA sebanyak RM10,000 di bawah Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) termasuk tambahan RM10,000 untuk pembungkusan pada tahun 2020.

“Sebelum ini, pendapatan saya terima sekitar RM144,000 setahun. Kini saya saya peroleh sekitar RM314,700 setahun menerusi perniagaan rempeyek dan kuih ros. RISDA banyak membantu dalam bentuk pembungkusan dan pelabelan selain peralatan antaranya peti sejuk, mesin pengadun, mesin dodol dan dua oven.

“Saya bersyukur kerana dengan pembungkusan dan pelabelan dibimbing RISDA, produk kami bertambah menarik,” katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib di premis miliknya di Bandar Bestari Perdana pada Ahad.

Norizan (kiri) dan anaknya, Bani Hakim menunjukkan produk-produk yang dihasilkan Nouriwellness di premisnya di Taman Desa Rakyat, Pasir Gudang pada Ahad.
Norizan (kiri) dan anaknya, Bani Hakim menunjukkan produk-produk yang dihasilkan Nouriwellness di premisnya di Taman Desa Rakyat, Pasir Gudang pada Ahad.



Seorang lagi usahawan bimbingan RISDA, Norizan Salim, 62, bersyukur menerima pelbagai bantuan daripada agensi itu seperti bantuan AET RM10,000 pada tahun 2020, Skim Insentif Nano RM10,000 (2021), bantuan pembungkusan RM10,000 serta bantuan pensijilan halal RM20,000 masing-masing pada tahun 2022.

Menurut ibu kepada enam anak itu, bantuan RISDA dalam membantu mengembangkan perniagaannya sejak lapan tahun lalu apabila memperoleh pendapatan RM82,150 setahun menerusi perniagaan kordial, sambal dan madu ketika ini.

"Saya menghasilkan tiga produk utama (kordial, sambal dan madu). Saya gunakan bahan berasaskan alamiah yang baik untuk mereka yang menjaga kesihatan,” ujarnya yang mana produknya menggunakan jenama Nouriwellness yang diuruskan bersama anaknya, Bani Hakim Sarbinih.

Pada masa sama, Norizan turut merancang untuk meluaskan pasaran di seluruh negara selain menggunakan platform e-dagang untuk memasarkan produknya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!