Dua pemilik syarikat direman, disyaki beri rasuah RM4,000
SEREMBAN - Dua pemilik syarikat barangan kitar semula direman tujuh hari kerana disyaki menawar dan memberi rasuah RM4,000 kepada seorang penguat kuasa sebagai dorongan tidak dikenakan tindakan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.
Perintah reman terhadap suspek dikeluarkan oleh Majistret Nurul Saqinah Rosli selepas permohonan dibuat Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zainab Yahya di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.
Reman terhadap suspek bermula 23 Januari hingga 29 Januari ini.
Kedua-dua suspek diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Redzuan Hakim Sulaiman.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia sekitar 40-an itu ditahan ketika hadir ke Pejabat SPRM Negeri Sembilan untuk memberi keterangan pada Isnin.
"Berdasarkan siasatan yang dijalankan, kedua-dua suspek (didakwa) melakukan kesalahan tersebut pada tahun 2023.
"Suspek dipercayai memasukkan wang rasuah RM4,000 secara dalam talian dan mesin deposit tunai ke akaun seorang penguat kuasa sebagai dorongan untuk tidak dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), " katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Tuan Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail mengesahkan penahanan terhadap suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!