Gagal isytihar harta: Na'imah dakwa tidak terlibat, akan buktikan di mahkamah

Na'imah ketika dalam sidang media di pekarangan Mahkamah Sesyen pada Selasa.
Na'imah ketika dalam sidang media di pekarangan Mahkamah Sesyen pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Dr Daim Zainuddin iaitu Toh Puan Na'imah Abdul Khalid mendakwa tidak terlibat dengan tuduhan gagal isytihar harta dan akan membuktikan perkara tersebut di mahkamah.

Na'imah sebaliknya mendakwa bahawa jenayah sebenar adalah komplot yang dirancang untuk mencemarkan nama baik suami dan keluarganya.

"Saya telah didakwa pagi ini atas kesalahan jenayah. Tetapi tiada jenayah dilakukan oleh saya dan akan membuktikannya di mahkamah.

"Akhirnya, saya katakan kepada Datuk Seri Anwar lbrahim, bahawa kuasa itu singkat dan sentiasa ada perhitungan bagi mereka yang menyalahgunakannya," katanya ketika sidang media di pekarangan Mahkamah Sesyen pada Selasa.

Na'imah turut mengucapkan terima kasih atas keprihatinan dan sokongan orang ramai yang diberikan ke atas diri dan keluarganya berhubung dakwaan tersebut.

"Saya terharu dengan sokongan yang kami dapat daripada orang ramai yang tidak kami kenali, atas keprihatinan dan solidariti mereka sejak malam tadi apabila berita tersebar bahawa saya akan didakwa.

"Saya berterima kasih dan saya percaya saya dibebaskan dari tuduhan ('vindicated') pada penghujung semua ini," ujarnya.

Pada Selasa, Na'imah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Selasa, atas satu pertuduhan, gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tidak mengisytiharkan 12 aset harta antaranya di ibu negara dan Pulau Pinang, Disember tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Mengikut pertuduhan, Na'imah, 67, yang memakai baju kurung berwarna hijau, didakwa sengaja memberikan satu pernyataan bertulis secara bersumpah, yang tidak mematuhi terma notis, bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 bertarikh 8 November 2023.

Harta itu membabitkan dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd serta dua Mercedes Benz, selain lapan hartanah membabitkan Menara Ilham dan sebuah kediaman di Bukit Tunku, di sini serta enam lagi bangunan dan lot tanah di Taman Tunku dan Bukit Tunku, di sini; Jalan Cantoment Road, Penang serta Jalan Anthinahapan, Taman Tun Dr Ismail, di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.

Pada 10 Januari lalu, Daim memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini, untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman dan mengarahkan SPRM menghentikan penyiasatan terhadapnya, isteri serta empat anak termasuk Ilham Tower Sdn Bhd mengaitkan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Selain Daim, 86, isterinya, Nai’mah dan empat anak, Asnida, 63, Md Wira Dani, 46, Muhammed Amir Zainuddin, 29, Muhammed Amin Zainuddin, 26, serta lham Tower selaku pemohon pertama hingga ketujuh turut memfailkan permohonan sama menerusi Tetuan Tommy Thomas.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!