Inkues Baby Syifaa: Saksi tidak hadir, mahkamah arah sapina

Yuseri (kiri) mendengar penerangan daripada peguamnya berhubung prosiding inkues yang ditangguhkan.
Yuseri (kiri) mendengar penerangan daripada peguamnya berhubung prosiding inkues yang ditangguhkan.
A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Koroner di sini mengarahkan notis sapina diserahkan kepada seorang saksi yang juga jiran pusat asuhan Baby Syifaa selepas dia tidak hadir untuk memberi keterangan pada Selasa.

Mahkamah dimaklumkan wanita tersebut tidak hadir atas alasan anaknya tiada orang jaga, anak sulung sedang menduduki Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) dan suaminya pula bekerja di luar kawasan.

Pegawai Pengendali Inkues, Zahida Zakaria memberitahu saksi ke-28 tersebut bersedia memberi keterangan secara sidang video atau Zoom.

Bagaimanapun Koroner, Datin Surita Budin menolak permohonan untuk mengadakan perbicaraan inkues secara sidang video kerana wanita itu masih berupaya lagi untuk hadir ke mahkamah bagi memberi keterangan secara lisan.

Yuseri (kanan) hadir ke mahkamah.
Yuseri (kanan) hadir ke mahkamah.

Beliau turut mengarahkan sapina dikeluarkan terhadap saksi berkenaan yang memerlukannya hadir pada tarikh prosiding akan datang.

"Kalau nak buat secara Zoom perlu ada alasan yang munasabah, sakit atau orang tua yang susah nak datang mahkamah.

"Alasan UPKK dan tiada sesiapa jaga anak, bagi saya ia alasan remah.

Artikel Berkaitan:

"Saya mahu serahan sapina secara rasmi kepada saksi itu untuk hadir pada tarikh akan datang dan jika dia gagal, saya akan keluarkan waran tangkap kepada beliau," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan prosiding inkues itu bersambung pada 29 April depan.

Media sebelum ini melaporkan, Baby Syifaa atau nama sebenarnya Nour Rania Asyifaa yang berusia 15 bulan ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman di Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.

Pada 30 Mac 2022, Yuseri Yusoff mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!