Tarif air: KPDN harap peniaga tidak naikkan harga jualan
ALOR GAJAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berharap peniaga terutama penjual makanan, tidak menaikkan harga jualan selepas penguatkuasaan pelarasan tarif baharu air bermula 1 Februari ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ini kerana pelarasan tersebut hanya merangkumi tarif air dan bukan secara langsung terhadap barangan jualan perniagaan.
"Kita akan melihat (memantau) sebab keputusan untuk menaikkan tarif air adalah keputusan bersama (Kabinet) yang juga melibatkan kerajaan negeri serta Majlis Air Negara.
"Kita akan meneliti sekiranya terdapat unsur-unsur pencatutan (namun) kita harap tak ada sebab ia melibatkan air dan bukan secara langsung barangan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Program Jualan Ihsan Rahmah (PJIR) Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) yang dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di sebuah pasar raya di pekan Masjid Tanah di sini pada Selasa.
Pada 17 Januari lalu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengumumkan pelarasan tarif air bagi pengguna domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dilaksanakan bermula 1 Februari ini yang menyaksikan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu air. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!