Enam sekawan dituduh promosi judi dalam talian

Tiga lelaki mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mempromosi perjudian dalam talian pada 16 Januari lalu.
Tiga lelaki mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mempromosi perjudian dalam talian pada 16 Januari lalu.
A
A
A

GEORGE TOWN - Enam sekawan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa di atas pertuduhan mempromosikan perjudian dalam talian.

Choo Pi Tse, 32, Ong Ji Wei, 24, Lai Ming Hao, 30, Ching Zi Wei, 32, Kye Kher Ying, 26, dan Yeap Ring Yao, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersama tersebut.

Kesemua mereka mempunyai pekerjaan tetap iaitu pegawai sumber manusia, pereka grafik dan pegawai pemasaran.

Mengikut pertuduhan, keenam-enam mereka didakwa telah mempromosikan perjudian dalam talian melalui aplikasi Facebook, WhatsApp dan WeChat dengan menggunakan komputer riba dan satu unit telefon bimbit.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Pusat Perdagangan Nova di Jalan Ahmad Nor, Jelutong pada jam 10.45 pagi, 16 Januari lalu.

Oleh demikian, kesemua mereka dituduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 serta penjara tidak melebihi tiga tahun.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.

Artikel Berkaitan:

Sementara tertuduh diwakili peguam Teh Yi Kai dan Ang Xin Lin.

Syairah kemudiannya memohon mahkamah menawarkan wang jaminan sebanyak RM9,000 serta seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Tiga tertuduh wanita juga mengaku tidak bersalah kerana mempromosikan perjudian dalam talian.
Tiga tertuduh wanita juga mengaku tidak bersalah kerana mempromosikan perjudian dalam talian.

Yi Kai yang mewakili tertuduh pertama, kedua, keempat, kelima dan keenam memohon mahkamah mengenakan wang jaminan yang minimum berikutan kesemua anak guamnya mempunyai tanggungan seperti anak, isteri dan ibu bapa selain mempunyai gaji bulanan antara RM3,000 hingga RM5,000.

Sementara Xin Lin yang mewakili tertuduh ketiga juga memohon wang jaminan dikurangkan kerana anak guamnya mempunyai ibu bapa untuk ditanggung.

Xin Lin dan Yi Kai juga memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan kerana tujuan wang jaminan tersebut adalah untuk memastikan kehadiran kesemua tertuduh ke mahkamah, dan bukannya satu hukuman.

Mohamad Azlan kemudiannya menetapkan wang jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin untuk setiap tertuduh.

Kes ditangguh sehingga 11 Mac untuk serahan dokumen.

Sebelum ini, Polis Pulau Pinang menahan 13 individu dipercayai sindiket mempromosi dan pusat panggilan (calling centre) judi dalam talian membabitkan jumlah RM2.5 juta dalam dua serbuan berbeza di sini pada Selasa, minggu lalu.

Serbuan dalam Op Dadu itu melibatkan anggota dan pegawai daripada Bahagian D7 Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut serta IPD Barat Daya.

Kesemua yang ditahan adalah warga tempatan berusia lingkungan 21 hingga 33 tahun.

Serbuan pertama dijalankan di sebuah premis perniagaan di Jelutong manakala serbuan kedua di sebuah kondominium di Queensbay, Bayan Baru.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!