Perarakan Chariot: Beberapa jalan di KL ditutup, dilencong bermula Selasa
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sempena Thaipusam beberapa jalan utama di pusat bandar akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat bagi perarakan Chariot mulai Selasa.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, jalan terlibat ialah Jalan Tun H S Lee, Jalan Sultan, Jalan Tan Cheng Lock, Jalan Pudu, Jalan Tun Perak, Jalan Leboh Ampang, Jalan Munshi Abdullah dan Jalan Dang Wangi.
Menurutnya, turut terlibat ialah Jalan Raja Laut, Jalan Tun Razak, Jalan Ipoh menuju ke Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves
"Perarakan akan bermula jam 9 malam Selasa dari Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun H S Lee dan dijangka berakhir jam 4 petang Rabu di Kuil Sri Subramaniar Temple, Batu Caves.
"Sementara perarakan balik pula akan bermula pada 26 Januari 2024 (Jumaat) 3 petang melalui laluan yang sama," katanya menerusi kenyataan.
Ujarnya, pengguna jalan raya dinasihati mengelakkan dari menggunakan atau melalui jalan terlibat bagi tempoh tersebut.
"Patuhi arahan anggota polis yang bertugas bagi memastikan keadaan lalu lintas sentiasa lancar dan terkawal.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau balai polis berhampiran," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!