Aiman urus ibu, bapa sakit, abang OKU sebelum ke sekolah


Arman (kiri) bersama Aiman Ikhwan ketika menerima kunjungan Kamil (kanan) pada Isnin.
Arman (kiri) bersama Aiman Ikhwan ketika menerima kunjungan Kamil (kanan) pada Isnin.
A
A
A

GURUN - Biarpun baru berusia 15 tahun, namun seorang remaja lelaki sudah menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga berikutan keadaan kedua ibu bapa yang sakit serta abang sulung yang berstatus orang kurang upaya (OKU).

Aiman Ikhwan Arman terpaksa mengorbankan masa remajanya kerana mempunyai tugas yang berat menguruskan keluarga di rumah.

Setiap hari, Aiman Ikhwan akan menguruskan bapanya, Arman Othman, 49, yang menghidap strok manakala ibunya, Mazliana Jamaluddin, 39, yang terlantar akibat ketumbuhan di kepala.

Abangnya, Aiman Irfan, 20, masih mengikuti pembelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gurun dalam aliran pendidikan khas manakala adik bongsu, Aina Najwa,10, bersekolah di Sekolah Kebangsaan Batu 4, Gurun.

Aiman Ikhwan
Aiman Ikhwan

Menurut Aiman Ikhwan, setiap pagi sebelum ke sekolah di SMK Batu 5 Gurun, dia akan menguruskan ibunya termasuk lap badan, menukar lampin pakai buang dan menyuapkan susu formula khas yang perlu diberikan tujuh kali sehari.

Jelasnya, sebelum ini, ibunya sering mengadu sakit kepala yang disangka migrain, namun beberapa tahun kebelakangan ini semakin teruk sehingga diserang sawan selain penglihatan kabur.

"Doktor mengesahkan ibu perlu menjalani pembedahan, namun sebab memikirkan ayah hidap strok dan abang OKU tiada orang nak jaga, pembedahan ditangguhkan beberapa kali.

Artikel Berkaitan:

"Ibu pun bimbang tiada orang nak jaga dia sebab lepas pembedahan perlukan penjagaan rapi," katanya.


Kamil melawat Mazliana di Taman Ria Mesra 2, Gurun Kedah pada Isnin.
Kamil melawat Mazliana di Taman Ria Mesra 2, Gurun Kedah pada Isnin.

Bagaimanapun keluarga itu bersyukur setelah adik Mazliana, Norlela, 30, dan adik beradik lain bersetuju menjaga ibu kepada tiga anak itu selepas pembedahan secara bergilir.

Menurut Norlela, selepas pembedahan Disember lalu, Mazliana dibawa ke rumahnya yang terletak hanya selang beberapa buah rumah dari rumah mereka di Taman Ria Mesra 2.

"Saya kerja kilang, bila saya kerja malam, ada kakak-kakak lain akan tunggu untuk tukar lampin, beri susu dan tengok keperluan dia,"katanya.

Nasib keluarga itu yang tular di media sosial baru-baru ini mendapat perhatian daripada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Kamil Munim berkata, sumbangan daripada Perdana Menteri melalui Pejabat Pembangunan Persekutuan (ICU) Negeri telah disampaikan kepada keluarga berkenaan.


Dari kanan Mohammed Taufiq dan Kamil ketika melakukan lawatan menziarahi Arman (dua kiri) dan Aiman Ikhwan (kiri sekali).
Dari kanan Mohammed Taufiq dan Kamil ketika melakukan lawatan menziarahi Arman (dua kiri) dan Aiman Ikhwan (kiri sekali).

"Hari ini kita salur bantuan dalam bentuk tunai dan kita akan lihat bantuan lain yang boleh disalurkan segera. Salah satu yang saya lihat amat diperlukan ketika ini ialah katil yang lebih sesuai untuk pesakit terlantar.

"Saya turut dimaklumkan beliau menerima bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Bagaimanapun kita akan melihat bentuk bantuan lain yang boleh disalurkan bagi membantu keluarga ini," katanya yang melakukan lawatan pada Isnin.

Selain itu, Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufik Johari berkata, pejabat Parlimen Sungai Petani akan bekerjasama dengan agensi berkaitan khususnya ICU bagi memantau keluarga terbabit dari semasa ke semasa.

"Anak-anak pasangan ini kesemuanya masih bersekolah dan sudah pasti kos persekolahan juga perlu dibantu.

"Begitu juga dengan keperluan harian, lampin pakai buang, susu untuk pesakit terlantar dan sebagai. Saya akan buat pemantauan secara bulanan terhadap keperluan keluarga ini," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank bernombor 1521-2512-2863 atas nama Mazliana.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!