Letshanaa, Jun Hao lulus ujian pertama di Indonesia
PEMAIN perseorangan wanita negara, K Letshanaa boleh menarik nafas lega apabila memulakan saingan Indonesia Masters 2024, pada Selasa dengan langkah kanan.
Kejayaan tersebut diraih selepas Letshanaa mengalahkan pemain yang menghuni ranking lebih tinggi, Pornpicha Choeikeewoong dari Thailand yang berada di tangga ke-42 dunia.
Letshanaa yang menghuni ranking ke-60 dunia menumpaskan Pornpicha dalam aksi pusingan kelayakan menerusi pertembungan tiga set 16-21, 21-14 dan 21-11 dalam tempoh 52 minit permainan.
Menerusi kemenangan tersebut, pemain berusia 29 tahun itu mengesahkan tempat ke peringkat pusingan 32 pada kejohanan Jelajah Dunia berstatus Super 500 itu.
Menanti Letshanaa dalam saingan berkenaan ialah pemain wanita Indonesia yang menduduki ranking ke-31 dunia, Putri Kusuma Wardani.
Turut mengiringi Letshanaa ke pusingan seterusnya ialah seorang lagi pemain perseorangan, Leong Jun Hao yang menundukkan Jia Heng Jason dari Singapura.
Jun Hao meraih kemenangan menerusi pertarungan dua set 21-12, 21-19 dalam masa 43 minit permainan.
Menerusi kejayaan itu, melebarkan jurang kemenangan Jun Hao kepada tiga daripada empat pertemuan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!