Persiapan Tahun Baru Cina musnah
TAIPING - Persiapan tujuh keluarga menyambut Tahun Baru Cina musnah dalam kebakaran rumah dua tingkat di Jalan TM 1/8, Taman Tupai Emas di sini awal pagi semalam.
Kejadian sekitar jam 3.50 pagi itu turut mengakibatkan seorang lelaki warga emas melecur di bahagian kanan badan.
Difahamkan kebakaran bermula di bahagian garaj salah sebuah rumah yang memusnahkan sebuah van, kereta Toyota Altis dan tiga buah motosikal sebelum merebak ke rumah jiran bersebelahan.
Mangsa, Lian Guan Huat, 60, berkata, insiden itu disedari oleh isterinya yang terdengar bunyi pelik di bahagian hadapan rumah sebelum menjerit mengejutkan dia dan anak lelakinya berusia 25 tahun.
Dia yang bekerja sebagai peniaga pakaian berkata, mereka berjaya menyelamatkan diri dengan keluar melalui pintu dapur sebelum mengejutkan jiran bersebelahan.
"Saya hentam pintu semua jiran minta mereka keluar sebab api marak begitu cepat hingga merebak ke rumah lain. Api bermula di bahagian luar.
"Kami tidak sempat buat apa-apa pun. Kereta kesayangan saya serta stok berniaga hangus. Persiapan raya dan semua barang habis. Tahun ini tidak raya," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini semalam.
Menurutnya, dia tidak mengetahui sama ada ia perbuatan khianat atau faktor lain.
"Saya dengar-dengar orang beritahu ia perbuatan ah long tetapi saya tidak pernah membuat apa-apa pinjaman.
"Biar bomba dan polis yang siasat. Kami semua telah buat laporan polis berhubung dengan kejadian ini," katanya.
Ng Peong Chuan, 60, melecur di bahagian bahu dan pinggang akibat bahang api ketika cuba memadam kebakaran rumahnya dengan menggunakan paip air.
"Saya terkejut lihat depan rumah sudah marak dan saya cuba padamkan dengan menggunakan paip air. Bahang terlalu kuat hinggakan tidak dapat berbuat apa-apa.
"Walaupun semua barang musnah termasuk persediaan sambutan perayaan tiga minggu lagi, saya bersyukur isteri dan anak selamat," katanya yang telah mendapatkan rawatan di Hospital Taiping.
Katanya, dia tidak dapat berfikir melainkan mahu melihat kerosakan yang dialaminya sementara menunggu pihak forensik bomba jalankan siasatan.
Sementara itu, Penolong Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohd Subri Hussin berkata, seramai 20 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Taiping dan Kamunting dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 3.55 petang.
"Anggota bertindak membuat pemadaman dengan menggunakan aliran air sehingga api berjaya dikawal dan padam sepenuhnya.
"Rumah pertama terbakar 10 peratus, rumah kedua (20 peratus), rumah ketiga (80 peratus) dan rumah keempat (10 peratus). Rumah kelima dan keenam masing-masing terbakar satu peratus," katanya.
Katanya, siasatan diteruskan dengan mengambil sampel bahan bakar untuk dianalisis.
"Berdasarkan keterangan saksi, kebakaran bermula daripada bahagian garaj rumah mangsa. Bagaimanapun, punca sebenar dan jangkaan kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Pada masa sama, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pihaknya menafikan kejadian itu mempunyai unsur khianat.
"Pihak polis dan forensik bomba telah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan setakat ini, tiada apa-apa bahan bakar ditemui. Hasil siasatan dapati tiada unsur jenayah dan kes disiasat oleh pihak bomba," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!