Sahut 'Subuh macam Jumaat', geng Y15, Y16 solat berjemaah
KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Fenomena 'Solat Subuh macam solat Jumaat' nampaknya semakin menjadi ikutan di seluruh negara.
Ini terbukti apabila lebih 700 jemaah termasuk sekumpulan kelab motosikal Y15 dan Y16 mengerjakan solat Subuh berjemaah di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini pada Ahad lalu.
Imam Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Muhammad Izzan Idris berkata, sambutan geng Subuh sangat menggalakkan bukan sahaja di Johor Bahru, Kelantan dan Selangor tetapi di Pahang.
"Kelab peminat motosikal Y15 dan Y16 anjurkan program ini dan alhamdulillah mendapat sambutan yang sangat baik walaupun pada hari itu cuaca agak mendung dan sesekali hujan.
"Lebih 700 orang yang hadir. Lihat kepada sambutan geng 'Subuh macam Jumaat' ini, satu fenomena yang dahsyat.
"Sembahyang berjemaah, Nabi sebut kepada kita bahawa amalan ini kalau sikit-sikit kalau ia berterusan itu amalan yang ALLAH SWT suka," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Program berkenaan turut dipenuhi dengan segmen qiamulullail dan seterusnya solat Subuh berjemaah.
Kempen Subuh macam Jumaat yang dianjurkan pengurus masjid bersama kelab permotoran Y15 dan Y16 di daerah ini.
Muhammad Izzan memaklumkan akan berkerjasama dengan Yayasan Sultan Abdullah bagi mengadakan program berskala besar dan mengundang selebriti, Alif Satar dalam terdekat.
"Insya-ALLAH kita akan aturkan dan kita jangkakan program tu lebih besar.
"Kita juga bersedialah untuk menerima tetamu yang ramai dan mungkin kita boleh bersedia dengan makanan dengan persiapan yang lebih rapi," ujar beliau.
Sementara itu, Wan Mohd Zuraidi Wan Zulkifli, 40, berpendapat, ini adalah satu usaha yang menarik dan wajar disokong oleh semua pihak.
Jelasnya, kempen seperti ini hanya dilihat di media sosial, tetapi kini berpeluang untuk menyertai sendiri.
"Ia adalah satu pengalaman yang menarik untuk semua pihak, termasuk diri saya sendiri.
"Saya fikir ia boleh diadakan setiap hujung minggu kerana biasanya orang tak bekerja.
"Macam kalau hari bekerja, kita boleh berjemaah Subuh di surau atau masjid yang hampir dengan rumah kita," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!