'Tertekan sewa tapak naik dari RM90 kepada lebih RM550'
ALOR SETAR - Kira-kira 30 peniaga Medan Selera Pasar Besar Alor Setar di sini memohon kadar sewa bulanan baharu yang didakwa bakal dikenakan terhadap mereka dikaji semula.
Wakil peniaga, Mohd Firdaus Shahi Zabiat, 35, berkata, pihaknya dimaklumkan perlu membayar sewa antara RM550 hingga RM700 sebulan berbanding hanya RM90 sebulan sebelum ini untuk satu tapak gerai di medan selera itu.
Beliau berkata, kenaikan kadar sewa itu dipercayai disebabkan medan selera itu dinaik taraf dan telah diswastakan untuk diuruskan syarikat swasta terlibat.
"(Kami) dijangka masuk semula berniaga di medan selera pada 1 Februari. Kita dapat berita mengatakan deposit satu tapak sehingga RM2,000 dan kadar sewaan sebanyak RM550 hingga RM700 sebulan.
"Itu adalah beban kepada pihak peniaga-peniaga yang berniaga di sini, semua ada 30 peniaga di mana ada susah dan ada sederhana," katanya kepada pemberita ketika ditemui di hadapan Medan Selera Pasar Besar Alor Setar di sini pada Selasa.
Mohd Firdaus berkata, mereka hanya berniaga selama lima jam bermula dari jam 7 pagi hingga jam 12 tengah hari setiap hari.
Bagaimanapun katanya, mereka tidak memperoleh hasil yang banyak dan hanya mampu balik modal memandangkan pelanggan tidak ramai pada hari Ahad hingga Khamis.
Lebih membimbangkan, menurut Mohd Firdaus, tapak peniaga asal berkemungkinan akan diberikan kepada peniaga baharu sekiranya mereka tidak mampu membayar deposit dan sewa bulanan berkenaan.
Bagi peniaga minuman, Zahira Shokut Ali, 45, kadar sewa baharu dikenakan itu amatlah membebankan peniaga Medan Selera Pasar Besar Alor Setar.
"Daripada RM90 (namun), tiba-tiba naik ke RM550, (jumlah) ini terlalu tinggi (sedangkan) meniaga (di medan selera) ini bukanlah dapat hasil terlalu baik," katanya.
Tambah Zahira, mereka kini bukan hanya terkesan dengan kenaikan kadar sewa bulanan, malah dipercayai perlu membayar kos tambahan seperti bil air dan bil elektrik.
Menurutnya, mereka bergantung sepenuhnya pada hasil pendapatan tidak menentu melalui jualan di medan selera itu, sekali gus tidak mampu membayar kadar sewa baharu berkenaan.
Seorang lagi peniaga, Romah Hashim, 65, berkata, dia sememangnya tidak mampu untuk membayar sewa RM550 sebulan untuk menjual makanan di medan selera berkenaan.
"Saya juga tidak mempunyai wang untuk membayar deposit RM2,000 untuk berniaga semula di medan selera yang dijangka dibuka semula pada 1 Februari ini," katanya.
Sehubungan itu, Yang Dipertua Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Malaysia (GAPEMA) Kedah, Baharudin Mohamed Ali memaklumkan, satu surat telah dihantar kepada pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) pada Selasa.
Katanya, peniaga terlibat terkejut dengan kadar sewa bulan baharu tapak medan selera yang naik berlipat ganda hingga membebankan mereka.
Beliau berharap, isu berkenaan mendapat perhatian pihak berkenaan dan diselesaikan segera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!