Empat anggota polis ditahan peras ugut peniaga air ketum
KUALA LUMPUR - Empat anggota polis ditahan pada Jumaat lepas, kerana disyaki memeras ugut seorang peniaga air ketum di Taman Desa Gombak di sini sejak November 2023.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, kertas siasatan kes berkenaan telah dilengkapkan dan dihantar ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut.
"Empat anggota berkenaan direman selama tiga hari dan telah dibebaskan dengan jaminan polis," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut sumber, dalam kejadian berkenaan peniaga air ketum dan rakannya didatangi empat lelaki tempatan mengaku sebagai pegawai kanan polis sebelum memeriksa rumahnya.
Katanya, anggota itu kemudian menemukan 20 bungkus minuman dipercayai air ketum di dalam rumah dan kemudian meminta bayaran RM10,000 atau tindakan akan diambil terhadapnya.
"Mangsa diugut untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju sekiranya enggan membayar RM10,000. Mangsa kemudian berunding untuk hanya membayar RM5,000," katanya.
Setelah menerima wang, anggota itu berbincang dengan mangsa untuk berniaga air ketum dengan jaminannya dan beberapa hari kemudian anggota terlibat menghubungi mangsa untuk meminta bayaran bulanan sebanyak RM1,000.
Berasakan dirinya ditipu, mangsa kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata keempat-empat anggota terlibat yang bertugas di sebuah daerah di Selangor kini ditahan tugas.
"Siasatan dalaman juga dijalankan selari dengan dengan tangkapan yang dibuat. (Tindakan terhadap) empat anggota kini diproses untuk tahan kerja,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!