Warga Pakistan mengaku rompak, rogol wanita di jejantas KTMB
PETALING JAYA - Seorang penganggur warga Pakistan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas dua pertuduhan merogol dan merompak seorang wanita tempatan di jejantas stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Serdang, dua minggu lalu.
Muhammad Mudasar, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan itu dibacakan dalam bahasa Urdu di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.
Bagaimanapun, fakta kes dan jatuh hukuman bagi kes ini ditetapkan pada 26 Februari depan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol seorang wanita berusia 29 tahun dan mengacukan pisau sehingga meletakkan mangsa dalam ketakutan, kematian atau kecederaan.
Dia juga dituduh merompak telefon bimbit jenis iPhone SE dan wang tunai sebanyak RM80 milik mangsa dengan menggunakan senjata sama di jejantas berkenaan pada jam 12.45 tengah malam, 14 Januari lalu.
Sementara itu, tertuduh juga didakwa bersama-sama rakan senegaranya, Muhammad Waqas, 29, atas satu pertuduhan merompak secara berkumpulan terhadap seorang lagi wanita lain berusia 20 tahun melibatkan dua telefon bimbit jenis Samsung A03 dan Iphone 11 menggunakan pisau.
Kesalahan didakwa dilakukan di lokasi sama, pada jam 11.15 malam, 30 Disember tahun lalu.
Muhammad Mudasar mengaku bersalah, manakala Muhammad Waqas yang menangis selepas pertuduhan dibacakan mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Hakimah Ibrahim mencadangkan mahkamah menetapkan satu tarikh singkat bagi jatuh hukum terhadap Muhammad Mudasar.
"Pihak pendakwaan tidak mencadangkan sebarang ikat jamin terhadap kedua-dua tertuduh," katanya.
Syahliza menetapkan 26 Februari depan bagi fakta kes dan hukuman termasuk sebutan semula bagi kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam.
Pada 17 Januari lalu, media melaporkan pihak polis menahan kedua-dua lelaki itu di kawasan kaki lima kondominium Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan sekitar jam 8.30 malam, 14 Februari lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan, kejadian berlaku ketika mangsa pulang ke rumah di Jalan Dagang, Sungai Besi.
Dia dilaporkan baru seminggu bekerja sebagai promoter sambilan di sebuah pusat beli belah di Putrajaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!