'Bapa aku buat sungai ni'
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki mendakwa sebatang sungai dipercayai di Muar, Johor merupakan milik bapanya dan melarang orang lain untuk memancing di kawasan tersebut.
Menerusi perkongsian video di aplikasi TikTok, pemilik akaun Azrol Saad, lelaki terbabit seolah-olah ‘menyerang’ individu yang sedang memancing di atas bot.
“Kau bagitahu aku, aku nampak kau dah banyak kali. Kau masuk kampung aku kenapa?
“Aku nak tanya kau, sekarang ini kau orang Johor ke Negeri Sembilan? Kau orang Palong.
"Sekarang kampung ini bapa aku yang buat sungai ni, dari zaman ‘Tok Bangau’, kau kenal tak siapa Tok Bangau?” tanya lelaki tersebut.
Dalam perbalahan kecil yang berlaku itu, individu yang diserang lelaki berkenaan turut mempertahankan keberadaannya untuk memancing di kawasan tersebut dengan berkata bahawa sungai merupakan milik semua orang.
Dia turut menjelaskan bahawa tiada sebarang racun atau tuba yang digunakan semasa menangkap ikan sekali gus berasa hairan dengan tindakan lelaki terbabit.
“Sungai ini bukan kau punya. Sekarang ini, aku memancing. Aku bukan menuba atau meracun.
“Kalau aku meracun, boleh (marah). Ini aku memancing,” tegasnya.
Video tular berdurasi 4 minit 25 saat itu telah mendapat tontonan sebanyak 3.6 juta, dengan 134,700 tanda suka sehingga artikel ini ditulis.
Ia turut menerima pelbagai komen dan reaksi daripada pengguna platform tersebut kerana terhibur dengan situasi yang berlaku.
Pengguna TikTok, @munirah berkata, ia merupakan pertengkaran berebut sungai yang pertama dalam hidupnya.
“Sepanjang umur aku, tak pernah lagi orang berebut sungai, selalu rebut tanah saja,” ujarnya.
Menurut @zackariffin pula, orang ramai perlu ke pejabat tanah terlebih dahulu untuk mengetahui pemilik sungai sebelum melakukan aktiviti memancing.
“Selepas ini, kalau nak pergi memancing kena pergi pejabat tanah dulu untuk tanya siapa pemilik sungai,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!