PRK Kimanis: Kerjasama Warisan, PH, UPKO mampu bawa kejayaan
BEAUFORT - Parti Warisan Sabah (Warisan) yakin kerjasama parti itu dengan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Pakatan Harapan (PH) akan memberi kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, 18 Januari ini.
Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, formula kerjasama itu sudah terbukti sebelum ini terutamanya ketika PRK Parlimen Sandakan pada 11 Mei 2019 dan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“(Kita) tidak harus selesa dan tidak perlu angkuh dengan cara kita (ketika berkempen). (Yang penting) kita perlu yakin untuk bawa perubahan kepada Sabah dan kita akan lakukan secara baik.
“Saya yakin kerjasama semua parti PH, sama ada Bersatu, PKR, DAP dan Amanah kita akan terjemahkan (dengan kemenangan),” katanya yang juga Ketua Menteri Sabah pada sidang media selepas proses penamaan calon PRK Kimanis di sini hari ini.
PH adalah rakan sekutu Warisan di Sabah bersama sebuah lagi parti tempatan, UPKO.
ARTIKEL BERKAITAN: Warisan lawan BN di Kimanis
Terdahulu, Pegawai Pengurus PRK Kimanis Jupari@Jupry Etok mengumumkan PRK Kimanis bakal menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Warisan dan Barisan Nasional (BN).
Warisan mempertaruhkan Ketua Bahagian Warisan Kimanis Datuk Karim Bujang, 67, yang akan ditentang calon BN, Datuk Mohamad Alamin, 48, yang juga Ketua Bahagian UMNO Kimanis.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi PRK Kimanis pada 18 Januari manakala hari pengundian awal pada 14 Januari - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!