'Selama ini tak pernah ada yang bergaduh tentang sungai'
SEGAMAT - [DIKEMAS KINI] "Selama ini, penduduk di kawasan Sungai Muar tidak kira di Johor atau Negeri Sembilan tidak pernah bergaduh tentang sungai, malah hidup harmoni," kata Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip.
Zahari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap berkata, dia mengambil maklum video tular seorang lelaki yang mendakwa kawasan sungai milik bapanya dan melarang orang lain memancing di kawasan itu.
Katanya, berdasarkan video berdurasi 4 minit 25 saat itu beberapa nama kampung disebut antaranya Kampung Pudu, Lubuk Kepong dan Kampung Awat yang terletak di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buloh Kasap.
"Saya akan cuba dapatkan maklum balas daripada penduduk setempat tentang dua lelaki di dalam video itu.
"Ini kerana sebelum ini, tidak pernah berlaku pergaduhan atau pertikaman lidah antara penduduk," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Menurut Zahari lagi, hasil ikan dan udang yang mula meningkat di Sungai Muar di Buloh Kasap menarik perhatian pemancing dari luar antaranya Muar, Palong dan Gemas.
ARTIKEL BERKAITAN:'Bapa aku buat sungai ni'
"Di peringkat kerajaan negeri, setiap tahun ada buat pelepasan benih ikan dan udang. Pelepasan dianggarkan sebanyak 300,000 benih dilakukan termasuk di Sungai Muar sejak 2022. Sememangnya sedia maklum, Segamat terkenal dengan ikan baung.
"Pada pandangan saya, tidak salah kalau berkongsi rezeki tidak kisahlah nelayan Segamat, Muar atau Negeri Sembilan. Hari ini, rezeki Segamat, esok ikan banyak di Muar, akan datang Negeri Sembilan pula.
"Asalkan tidak rosakkan ekosistem dengan menuba, bom ikan, buang sampah," katanya.
Sebelum ini tular video seorang lelaki mendakwa sebuah sungai dipercayai di Muar, Johor merupakan milik bapanya dan lelaki terbabit seolah-olah ‘menyerang’ individu yang sedang memancing di atas bot.
Dalam perbalahan kecil yang berlaku itu, individu yang diserang lelaki berkenaan turut mempertahankan keberadaannya untuk memancing di kawasan tersebut dengan berkata bahawa sungai merupakan milik semua orang.
Dia turut menjelaskan bahawa tiada sebarang racun atau tuba yang digunakan semasa menangkap ikan sekali gus berasa hairan dengan tindakan lelaki terbabit.
Video berkenaan menjadi tumpuan ramai dan mendapat tontonan sebanyak 3.6 juta, dengan 134,700 tanda suka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!