Tiga faktor kerajaan gagal selesai masalah rakyat - Muhyiddin

Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin. Foto Bernama
Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) menzahirkan kebimbangan terhadap pentadbiran kerajaan yang didakwa tidak mampu memberikan penyelesaian tuntas kepada permasalahan rakyat.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menumpukan terhadap usaha menyelesaikan masalah berkenaan sebaliknya memastikan musuh-musuh politik ditindas.

Susulan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh menggariskan beberapa faktor yang menjadi kegagalan tersebut.

“Semalam ringgit jatuh ke paras terendah dalam 26 tahun iaitu 4.728 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun lalu pula hanya berkembang kadar 3.8 peratus iaitu gagal mencapai sasaran 4 hingga 5 peratus seperti yang diunjurkan sebelum ini.

“Jumlah dagangan Malaysia juga terus menjunam pada Disember tahun lalu apabila merekodkan kemerosotan untuk bulan ke-10 berturut-turut sejak Mac 2023.

“Malah, bermula pada tahun ini juga, rakyat akan semakin terbeban dengan kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan cukai baharu yang dikenakan bagi barangan bernilai tinggi dan rendah,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Tambah Muhyiddin, ia tidak termasuk lagi dengan kenaikan tarif elektrik bermula Januari tahun ini dan penarikan balik subsidi pukal yang akan dilaksanakan.

“Semua ini pastinya akan memberi kesan langsung kepada peningkatan kos sara hidup rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, rungutan rakyat mengenai kekurangan beras tempatan di pasaran yang berlarutan sejak sekian lama seolah-olah tidak diendahkan oleh kerajaan.

“Tinjauan saya di beberapa tempat mendapati rakyat masih sukar memperolehi beras tempatan walaupun sepatutnya 70 peratus bekalan beras jenis ini,” ujarnya.

Menurut Muhyiddin, walaupun kerajaan berbangga dengan kadar inflasi yang menurun, ia tidak membawa sebarang makna kerana penurunan itu disebabkan permintaan lemah dan kuasa beli rakyat yang semakin rendah.

“Semua ini adalah realiti yang sedang dihadapi oleh rakyat, sudah setahun Kerajaan Madani memerintah tetapi kehidupan semakin sukar,” katanya lagi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!