Mualaf alami masalah penglihatan cekal sebar dakwah Islam
SHAH ALAM - Meskipun berdepan masalah penglihatan, namun itu bukan halangan kepada saudara baharu, Muhammad Kamaleswaran Abdullah, 29, untuk terus menyampaikan dakwah.
Muhammad Kamaleswaran berkata, penyakit mata keratokunus dihadapinya tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus menyampaikan syiar Islam kepada saudara baharu lain di Balai Islam Pulau Ketam sejak empat bulan lalu.
"Walaupun saya berada dalam kegelapan, tetapi semangat saya kuat untuk menyebarkan dakwah Islam secara kecil-kecilan bersama pelajar tahfiz di sini," katanya pada Sembang LZS 'Mualaf di Pulau Ketam' yang disiarkan di Facebook Lembaga Zakat Selangor pada Selasa.
Selain Muhammad Kamaleswaran, sembang LZS dihoskan, Anim Ezati Rizki itu turut mengundang seorang saudara baharu, Siti Fatimah Khuan Cheok Cheng, 40, yang turut berkongsi perasaan memeluk Islam.
Muhammad Kamaleswaran yang memeluk Islam sejak empat tahun lalu memberitahu, usaha dakwahnya di Pulau Ketam bermula sejak enam bulan lalu.
"Saya memilih Pulau Ketam kerana persekitarannya berbeza berbanding tempat lain, misalnya tiada bunyi bising kenderaan, sebaliknya kita lebih fokus dan tenang untuk beribadah," ujar beliau.
Bercerita lanjut penerimaannya memilih Islam sebagai pegangan hidup, Muhammad Kamaleswaran berkata, segala-galanya bermula apabila dia mendengar alunan azan setiap hari.
"Indahnya Islam ini sebab kita mengajak orang untuk sama-sama menunaikan solat dengan laungan azan.
"Inilah yang menjentik pintu hati saya untuk mengenali Islam dengan lebih dekat dan mempelajarinya," tambahnya.
Menurutnya, dia kemudiannya memeluk Islam dan mula tertarik dengan kitab suci al-Quran.
"Al-Quran ini tinggi dan mulia sifatnya dan saya mula belajar tentang hukum tajwid, makhraj huruf dan amalan baik yang dapat membersihkan jiwa, meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada ALLAH," jelasnya.
Menurut anak kelahiran Selayang itu, kecintaannya terhadap Islam bukanlah baharu sebaliknya sudah 'berputik' sejak selepas sekolah menengah.
"Saya suka membaca sejarah seperti peradaban manusia, perbezaan agama dan jadi lama-kelamaan saya ingin dekati Islam.
"Tahun demi tahun saya pelajari sedikit demi sedikit mengenai Islam dan Alhamdulillah saya diberikan hidayah memeluk Islam," katanya.
Muhammad Kamaleswaran memberitahu, pada mulanya dia mendapat tentangan daripada keluarga, namun semua itu berubah setelah dia memberi penerangan tentang agama ini.
"Keluarga sudah boleh menerima dan saya berharap terus istiqamah menjadi Muslim sejati," katanya.
Mengulas mengenai penyakit mata dihidapinya itu, Muhammad Kamaleswaran berkata, dia menjalani pemasangan kanta lekap di kedua-dua matanya di Hospital Sungai Buloh pada 28 Januari ini.
"Saya hadapi kesukaran untuk melihat walaupun pada jarak dekat dan doktor merawat memaklumkan penyakit ini sukar untuk pulih sepenuhnya.
"Saya hanya mampu berusaha dan berdoa kepada ALLAH agar semuanya berjalan lancar dan saya dapat meneruskan kerja-kerja dakwah," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!