Hampir 90 peratus kes sulh berjaya diselesaikan pada 2023

Mohd Na'im ketika berucap pada Majlis Apresiasi Dan Penyampaian Sijil Profesional Kemahiran Sulh_Mediasi (USIM-JKSM) untuk anggota KAGAT di Jabatan Kehakiman Syariah hari ini. Foto Bernama
Mohd Na'im ketika berucap pada Majlis Apresiasi Dan Penyampaian Sijil Profesional Kemahiran Sulh_Mediasi (USIM-JKSM) untuk anggota KAGAT di Jabatan Kehakiman Syariah hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 10,607 kes atau 88.98 peratus daripada 11,921 kes sulh yang didaftarkan di mahkamah syariah seluruh negara tahun lepas berjaya diselesaikan secara damai.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kejayaan penyelesaian melalui sulh amat digalakkan kerana Islam amat menganjurkan untuk menyelesaikan setiap pertikaian secara baik.

"Bayangkan daripada semua kes (sulh) yang difailkan, lebih 10,000 kes diselesaikan tanpa dibicarakan. Ia satu kejayaan dan tahniah kepada pegawai sulh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil profesional kemahiran Sulh-Mediasi (Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)-JKSM) kepada 30 anggota Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) di sini hari ini.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata, latihan kemahiran sulh perlu diperluaskan kepada semua pihak termasuk penghulu dan ketua kampung bagi membolehkan mereka mengetahui cara penyelesaian pertikaian dengan betul.

Sulh merupakan suatu perundingan dan perbincangan antara pihak-pihak di hadapan seorang pegawai sulh berkaitan perkara yang dipertikaikan terhadap satu atau beberapa tuntutan di mahkamah syariah.

Sementara itu Mohd Na’im berkata, beliau berpendapat satu garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) perlu diwujudkan untuk setiap mufti mengeluarkan pandangan atau kenyataan.

"Saya harapkan supaya ada nanti garis panduan atau SOP bagi seseorang mufti keluarkan pandangan. Terus terang saya kata kalau (kenyataan mufti) tiada kegusaran, isu tidak timbul,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian mengulas jawapan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di laman sesawangnya, baru-baru ini yang dilaporkan menasihati pekerja beragama Islam di bank konvensional agar mencari pekerjaan lain kerana institusi kewangan itu mempunyai muamalat berasaskan riba yang boleh menjurus kepada hukum haram.

Sabtu lepas, Mohd Na’im menyarankan institusi mufti untuk membawa sebarang isu yang bersifat nasional ke Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sebelum mengeluarkan sebarang jawapan terhadap isu itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!