Perselisihan faham dua pemancing selesai - Polis
SEGAMAT - Perselisihan faham antara dua pemancing di Sungai Lubok Kepong, di sini pada Isnin dapat diselesaikan dengan baik.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah, pihaknya telah menerima dua laporan polis daripada individu berkaitan bertujuan mahu menyelesaikan perselisihan faham tersebut secara baik.
"Polis telah mengesan dan mengambil maklum penyebaran kenyataan dan perkongsian video di media sosial berkaitan perselisihan faham dua pemancing di Sungai Lubok Kepong, Segamat pada 22 Januari lalu.
"Perselisihan faham yang berlaku hanya melibatkan dua individu sahaja dan satu perjumpaan melibatkan mereka bersama Polis Daerah Segamat, Jabatan Perikatan Daerah Segamat, ketua kampung turut dibuat sejurus laporan polis diterima.
"Alhamdulillah, ia dapat menjernihkan isu secara kerjasama yang baik," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sementara itu, Ahmad Zamry turut menasihati orang ramai agar menghentikan penyebaran atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang tidak tepat terhadap isu berkenaan.
"Kedua-dua pihak telah membuat laporan polis, jadi perkara sudah selesai. Kita harap perkara ini tak perlu dipanjang-panjangkan lagi," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!