Jumper kembali selepas berehat panjang
JAGUH Player Unknown's Battleground (PUBG) Mobile negara, Muhammad Izzrudin Hashim mengharapkan keputusan berehat panjang daripada dunia e-sukan mampu membuatnya kembali lebih bertenaga bagi mengharungi pengembaraan bersama pasukan baharu 'Yoodo O-TWO'.
Muhammad Izzrudin atau lebih dikenali Jumper dalam kalangan komuniti e-sukan berkata, tempoh rehat panjang itu digunakan sepenuhnya bagi mengembalikan kesegaran mindanya setelah empat tahun tanpa henti bertarung dalam dunia sukan maya sebelum ini.
“Selepas pulang dari Sukan SEA 2023 di Kemboja, saya buat keputusan untuk berehat selama enam bulan atau semusim setelah bermain empat tahun tanpa henti.
“Rehat kali ini agak panjang dalam kerjaya saya, mungkin orang di luar lihat e-sukan senang namun ia tidak semudah disangka kerana pemain perlu banyak berfikir. Jadi disebabkan itu rehat yang ada ini dapat segarkan kembali otak saya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penubuhan pasukan 'Yoodo O-TWO' yang merupakan jalinan kerjasama antara penyedia perkhidmatan mudah alih digital negara Yoodo, bersama pasukan PUBG Mobile tempatan O-TWO ESPORTS pada Selasa.
Sehubungan itu, Jumper yang kembali dengan misi baharu tekad melakar lebih banyak kejayaan membanggakan bersama 'Yoodo O-TWO' dan seterusnya negara dalam mana-mana kejohanan disertai.
“Setiap pemain impikan kemenangan namun saya harap dapat bantu pasukan capai sekurang-kurangnya tiga terbaik dalam mana-mana kejohanan disertai, kalau juara sudah tentu bonus buat kami,” katanya.
Pemain berusia 25 tahun itu berkata antara kejohanan bakal disertainya bersama 'Yoodo O-TWO' musim ini adalah PUBG Mobile Super League, PUBG Mobile World Invitational serta PUBG Mobile Global Open.
Anak kelahiran Kuala Pilah itu pernah membantu kontinjen negara merangkul gangsa pada Sukan SEA 2021 di Hanoi selain menjuarai PUBG Mobile Pro League - Southeast Asia Championship sebanyak dua kali masing-masing bersama 'Yoodo Gank' (2020) dan 'Team Secret' (2021).
Selain Jumper, pasukan 'Yoodo O-TWO' turut diperkuat dengan kehadiran seorang lagi pemain PUBG Mobile terbaik negara Ahmad Fuad Razali atau 'Fredo' manakala tiga lagi pemain akan diumumkan tidak lama lagi.
Sementara itu, Ketua Yoodo, Chow Tuck Mun pada sidang medianya berkata beliau yakin dengan kerjasama berkenaan, Yoodo terus mengukuhkan komitmen mereka untuk memupuk bakat Malaysia selaras dengan strategi untuk memupuk kecemerlangan e-sukan di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif O-TWO ESPORTS Muhamad Arif Badrul Hisham berkata keputusan untuk bekerjasama dengan Yoodo menandakan pembentukan kuasa yang inovatif dan menggerunkan dalam kancah e-sukan sambil meningkatkan keupayaan berhubung dengan peminat dan komuniti permainan yang lebih luas.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!