'Bukan peperiksaan itu bermasalah, tetapi pendidikan kurang relevan'
SHAH ALAM - Peperiksaan berpusat tidak menjadi masalah utama, tetapi pendidikan di sekolah menjadi kurang relevan apabila tiada pengaplikasian silibus atau subjek dalam aspek kehidupan.
Finalis Anugerah Guru Global 2020, Samuel Isaiah berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) perlu memperbaiki kaedah pembelajaran sedia ada untuk membentuk pemikiran kritis dan bukan hanya melahirkan murid cemerlang di atas kertas semata-mata.
Menurutnya, murid dan pelajar masa kini mahukan pembelajaran akademik yang mempunyai makna dalam kehidupan.
“Kita di landasan yang betul dan tidak perlu melakukan ‘u-turn’ kerana ingin melahirkan murid berfikiran kritis.
“Apabila ingin mengukur kebolehan seorang murid menulis esei, setiap guru perlu mengajar mereka untuk berfikir menghasilkan sebuah idea penulisan yang baik dan bukan hanya menghafal sahaja.
“Semua guru mahu murid belajar sesuatu dengan makna dan pada masa yang sama kita mahu mereka berjaya dalam kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Wacana Siri 429 yang bertajuk ‘UPSR, PT3: Perlukah 'u-turn'?’ dihoskan oleh Ismail Adnan yang disiarkan secara langsung di semua platform media sosial Sinar Harian pada Selasa.
Turut hadir Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Taman Klang Utama, Mohd Nazri Azalli dan Pensyarah UCSI University, Kuala Lumpur, Dr Othman Talib.
Dalam pada itu, menurut Samuel, bagi merealisasikan hasrat tersebut, pihak KPM perlu menitikberatkan latihan perguruan dan menilai kualiti mereka sebelum memulakan tugasan mengajar di setiap sekolah.
Ujarnya, ia sejajar dengan keperluan pembelajaran aras tinggi apabila guru-guru melibatkan murid dalam setiap aktiviti pembelajaran melalui pengalaman bagi meningkatkan pemahaman terhadap sesuatu subjek.
“Mengenai idea pengajaran dan pembelajaran aras tinggi memerlukan pengalaman serta penglibatan murid perlu ditambah baik.
“Latihan perguruan yang lebih baik sesuai dengan silibus masa kini penting kerana ia akan menentukan tahap pendidikan di negara kita,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!