Harimau Malaya jangan bagi muka kepada Taegeuk Warriors

Skuad Harimau Malaya akan berdepan Korea Selatan dalam perlawanan terakhir Kumpulan E Piala Asia Qatar 2023 pada Khamis. Foto: Football Association of Malaysia
Skuad Harimau Malaya akan berdepan Korea Selatan dalam perlawanan terakhir Kumpulan E Piala Asia Qatar 2023 pada Khamis. Foto: Football Association of Malaysia
A
A
A

SKUAD bola sepak negara diharapkan agar dapat memberikan cabaran kepada pasukan di ranking ke-23 dunia, Korea Selatan dalam aksi terakhir Kumpulan E di Stadium Al Janoub sebelum melabuh tirai kempen Piala Asia 2023 di Qatar.

Jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, skuad Harimau Malaya perlu memberikan aksi bertenaga dan mengerah segala kudrat yang ada ketika menentang Korea selepas kegagalan untuk mara ke pusingan 16 pasukan terbaik.

Malah, beliau percaya penyokong negara sudah tentu mahu Harimau Malaya bangkit dengan persembahan positif selepas dua kekalahan kepada Jordan dan Bahrain.

“Ini lebih kepada maruah bola sepak kita. Walaupun perlawanan terakhir, kita perlu buat yang terbaik. Pasukan Korea Selatan juga sudah tentu akan 'all out' kerana mahu dapatkan slot ke pusingan seterusnya.

“Apa yang penting, kita perlu hadirkan cabaran kepada mereka dan jangan bagi mereka laluan mudah untuk menang.

“Kalau kita dapat jaringkan satu gol atau dapat mata pun satu bonus buat pasukan negara. Perkara paling utama adalah kita lawan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Sebelum ini, hasrat skuad negara untuk mara ke pusingan 16 pasukan terbaik tidak kesampaian selepas tewas dua perlawanan berturut-turut kepada Jordan 0-4 dan dan Bahrain 0-1.

Harimau Malaya akan turun berdepan Taegeuk Warriors kendalian Jurgen Klinsmann dalam aksi pelengkap kumpulan manakala Korea pula mencari sekurang-kurangnya keputusan seri untuk mara ke pusingan seterusnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Azraai juga menegaskan tiada penyesalan yang perlu disimpan dalam setiap diri pemain negara selepas persembahan hambar di pentas Piala Asia itu.

Menurutnya, kesukaran untuk menghadapi pasukan lebih kuat di pentas Asia itu sudah dapat dijangka dalam penampilan pertama Harimau Malaya pada kejohanan itu secara merit selepas 43 tahun.

“Apa yang berlaku di pentas Piala Asia ini sebenarnya satu pengalaman berguna kepada pasukan Malaysia. Memang tahap kita masih jauh di pentas Piala Asia.

“Namun, sekurang-kurangnya kita sudah dapat tahu bagaimana perasaan beraksi di sana dan saya yakin kita akan mampu tampil lebih kuat pada edisi akan datang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!