Janji Capres lawan rasuah

Satu ketika dahulu ekoran gerakan Reformasi dan kejatuhan Presiden Suharto, pimpinan dan ahli politik Indonesia menjadikan mantra menentang korupsi, kolusi dan nepotisme (KKN) secara bersungguh-sungguh. - Gambar hiasan
Satu ketika dahulu ekoran gerakan Reformasi dan kejatuhan Presiden Suharto, pimpinan dan ahli politik Indonesia menjadikan mantra menentang korupsi, kolusi dan nepotisme (KKN) secara bersungguh-sungguh. - Gambar hiasan
A
A
A

SAYA menganggap program Penguatan Antikorupsi untuk Penyelenggara Berintegiritas (Paku Integritas) amat bermakna sekali.

Buat julung-julung kalinya kesemua calon presiden (capres) dan calon wakil presiden (timbalan presiden atau cawapres) berada di Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) untuk menyatakan komitmen mereka memerangi rasuah.

Pasangan calon (paslon), Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar, Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka dan Ganjar Pranowo-Mahfud MD masing-masing menyampaikan secara ringkas gagasan mereka bagi memastikan Indonesia bersih daripada rasuah.

Hal ini dilakukan di hadapan pimpinan tertinggi KPK pada Khamis, 18 Januari lalu.

Menurut KPK, badan itu telah mendapat lampu hijau untuk mengadakan program berkenaan dari Komisi Pemilihan Umum (KPU) yang bertanggungjawab menyelenggara Pilihan Raya Presiden (Pilpres), Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan wakil-wakil daerah.

Memang ada keperluan penyataan terbuka semua paslon dalam hal ini. Kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Indonesia mengalami kemerosotan kebelakangan ini.

Satu ketika dahulu ekoran gerakan ‘Reformasi’ dan kejatuhan Presiden Suharto, pimpinan dan ahli politik Indonesia menjadikan mantra menentang korupsi, kolusi dan nepotisme (KKN) secara bersungguh-sungguh.

Rata-rata KPK dianggap badan anti-rasuah yang dihormati dan sekali gus digeruni. Sokongan massa cukup luar biasa.

Artikel Berkaitan:

Malah pada satu ketika rakyat jelata melancarkan kempen ‘Koin untuk KPK’ bagi mendapatkan dana membina ibu pejabat KPK.

Mereka tidak mahu ibu pejabat KPK dibiayai oleh wang kerajaan, sebaliknya oleh rakyat. Nama baik KPK cukup harum.

CPI dikeluarkan oleh Transparency International (TI) memperlihatkan peningkatan yang cukup memberangsangkan khususnya antara tahun 2015 hingga 2019.

Berdasarkan skala 0 hingga 100 (paling rendah bermakna paling korup), Indonesia berada pada kedudukan 36 pada 2015, 37 untuk tahun-tahun 2016 dan 2017, 38 untuk tahun 2018 dan 40 untuk tahun 2019.

Pada tahun 2015, daripada 166 buah negara yang ditinjau, Indonesia berada pada kedudukan 88, kedudukan nombor 90 dari 176 negara pada tahun 2016, 96 dari 180 negara pada tahun 2018 dan 85 dari 180 negara pada tahun 2019.

Media Indonesia ketika itu membawa berita muka depan: ‘CPI Naik Lagi, Indonesia Bersih Dari Korupsi’. Tetapi beberapa tahun kebelakangan ini, CPI republik itu merosot dan kedudukannya di antara negara-negara juga menjunam.

Satu ketika dahulu ekoran gerakan Reformasi dan kejatuhan Presiden Suharto, pimpinan dan ahli politik Indonesia menjadikan mantra menentang korupsi, kolusi dan nepotisme (KKN) secara bersungguh-sungguh. - Gambar hiasan
Satu ketika dahulu ekoran gerakan Reformasi dan kejatuhan Presiden Suharto, pimpinan dan ahli politik Indonesia menjadikan mantra menentang korupsi, kolusi dan nepotisme (KKN) secara bersungguh-sungguh. - Gambar hiasan

Menurut TI, CPI Indonesia untuk tahun 2022 yang dibentangkan pada tahun lalu menunjukkan skor 34/100 dan berada pada kedudukan 110 daripada 180 negara. Ini merupakan penurun empat mata dari tahun 2021.

Penurunan ini paling drastik sejak indeks itu bermula pada tahun 1995.

Tidak cukup dengan itu, ada beberapa isu besar yang membabitkan ketua KPK sendiri yang jelas menjejaskan imejnya.

Pada 14 Mac 2009, Indonesia digemparkan dengan berita bahawa Ketua KPK ketika itu, Antasari Azhar didakwa kerana kes pembunuhan.

Mahkamah telah menjatuhi hukuman mati ke atas beliau pada 19 Januari 2010. Hukuman itu bagaimanapun telah dipinda kepada penjara 18 tahun.

Bagaimanapun beliau mendapat pengampunan daripada Presiden Joko Widodo (Jokowi) pada tahun 2017.

Kes Antasari menimbulkan perdebatan luar biasa. Banyak pihak yang meragui penglibatan Antasari dalam kes itu.

Ada yang mengatakan tindakan tegas beliau sebagai ketua KPK menyebabkan keresahan banyak pihak terutama badan kepolisian.

Beliau menjadi mangsa integriti yang cuba dibawakannya.

Seorang lagi ketua KPK yang ditamatkan perkhidmatannya oleh Jokowi pada tahun 2015 adalah Abraham Samad, yang juga terkenal kerana ketegasannya.

Abraham punya cita-cita tinggi dalam politik, malah popularitinya menyebabkan beliau dikatakan melobi untuk menjadi wakil presiden (timbalan presiden atau wapres) Jokowi.

Banyak yang percaya beliau menjadi mangsa pelbagai elemen dalam parti yang tidak menyenangi beliau.

Pada bulan Disember tahun lepas, Jokowi telah melucutkan jawatan Ketua KPK, Firli Bahuri. Firli juga dikaitkan dengan pelbagai kes salah guna kuasa sewaktu di KPK.

Malah, petugas KPK sendiri secara jelas berasa tidak senang dengan cara beliau mentadbir KPK.

Tidak hairanlah bahawa keyakinan rakyat terhadap KPK merosot kebelakangan ini.

Maka itu salah satu perkara yang dijanjikan sewaktu program Paku Integritas oleh Capres, Anies Baswedan adalah untuk mengembalikan kepercayaan rakyat pada KPK. Anies mahu memastikan KPK berwibawa semula.

Maka itu beliau mencadangkan dikaji semula undang-undang KPK sedia ada.

Anies juga mahu memastikan bahawa KPK meletakkan ukuran etika yang tinggi.

Beliau menyebutkan begitu sekali standard etika petugas KPK satu ketika dahulu, mereka tidak menerima tawaran untuk makan di mana-mana majlis.

Sebaliknya mereka makan menggunakan duit yang disediakan oleh KPK.

Anies juga mahukan cara pengambilan petugas (recruitment) yang lebih baik di KPK.

Mereka yang diambil bekerja adalah orang yang bukan sekadar mencari pekerjaan tetapi menjadikan KPK tempat untuk memerangi amalan rasuah.

Anies juga mencadangkan agar Laporan Harta Kekayaan Penyelenggara Negara (LHKPN) dikuatkuasakan sepenuhnya.

Ini bagi memastikan penjawat awam lebih bertanggungjawab. Beliau juga menyebutkan perlunya sesiapa yang melaporkan perasuah diberikan hadiah.

Beliau mencadangkan juga Rang Undang-Undang Perampasan Aset segera dilaksanakan.

Mereka yang terbukti terbabit dengan rasuah patut ‘dimiskinkan’. Anies juga menggesa agar Rang Undang-Undang Pendanaan Politik disegerakan pelaksanaannya.

Tujuannya adalah untuk memastikan kawalan ke atas pembiayaan politik.

Ganjar Pranowo juga komited untuk menangani isu rasuah, malah tegas mahukan mereka yang terbabit harus dihukum.

Beliau juga mahukan KPK yang bebas. Prabowo Subianto bagaimanapun berpendapat bahawa rasuah berlaku disebabkan petugas yang tidak mendapat gaji yang secukupnya.

Menurut Prabowo, “jika kesejahteraan meningkat maka motivasi untuk melakukan korupsi turun.”

Pandangan ini bagaimanapun mendapat tentangan banyak pihak.

Mereka yang terbabit rasuah tidak semestinya berpunca dari pendapatan kecil, malah mereka yang memegang jawatan tinggi dan dibayar dengan lumayan pun terbabit dengan amalan itu.

Pada pendapat saya, Paku Integritas adalah program yang sangat bermakna dan patut dicontohi.

* Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau pernah menjadi Pengerusi Panel Perunding dan Pencegahan Rasuah (PPPR), badan yang memantau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!