[VIDEO] Suspek kes Bella didakwa pagi ini
BATU PAHAT - Kira-kira 50 ahli keluarga Allahyarham Mila Sharmila Samsusah atau Bella hadir ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, pagi Rabu bagi mengikuti pertuduhan kes bunuh wanita berkenaan.
Ibu Bella, Noraini Salleh, 55, dan kakaknya, Norhisham, 36, dilihat tiba seawal 8 pagi di Kompleks Mahkamah Batu Pahat.
Hari ini, suspek utama kes kehilangan ibu tunggal anak dua berumur 32 tahun itu dijangka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Suspek tiba di mahkamah pada jam 8.18 pagi dengan kenderaan polis.
Pada 21 Januari lalu, teman lelaki Bella merupakan antara tiga suspek yang direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 14 Disember tahun lalu, ibu tunggal dua anak itu hilang dan gagal dihubungi selepas keluar rumah menaiki kereta teman lelakinya pada jam 11.50 malam, dengan hanya memakai baju kelawar berwarna biru gelap untuk mencuci pakaian di kedai dobi.
Bagaimanapun, selepas tarikh itu dan sehingga kini, kelibat wanita terbabit terus hilang dengan telefon bimbitnya juga gagal dihubungi, selain mesej dihantar menerusi aplikasi WhatsApp hanya menunjukkan satu tanda saja.
Pada Jumaat lalu, polis Johor berjaya menemui rangka manusia tidak sempurna di dalam sebuah rumah yang terbiar di Tongkang Pechah, Batu Pahat yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes kehilangan Bella.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarulzaman Mamat dilaporkan berkata, rangka manusia tidak sempurna itu ditemukan setelah salah seorang suspek (suspek utama), membawa polis ke lokasi penemuan rangka manusia tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!