Konvensyen Perpaduan penentu masa depan kerjasama BN-PH
IPOH - Konvensyen Kerajaan Perpaduan Perak yang akan berlangsung Ahad ini perlu melahirkan satu keputusan bersama melibatkan gerak kerja untuk digunakan kesemua parti di dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, persepakatan perlu dicapai di dalam konvensyen tersebut untuk memastikan semua parti saling menghormati antara satu sama lain selain memberi garis panduan kepada pemimpin serta ahli parti dalam membangkitkan sebarang isu.
Menurutnya, sebarang keputusan yang dicapai nanti mesti dihormati agar kerjasama di antara dua parti gabungan itu berterusan bukan sahaja semasa mentadbir kerajaan tetapi menghadapi pilihan raya bersama.
"Konvensyen ini adalah jambatan pertemuan untuk mendapat satu matlamat. Dalam konvensyen ini akan terlahirlah beberapa keputusan dan ia elok diangkat untuk dilaksana bersama di semua peringkat.
"Maknanya selepas konvensyen nanti, saya di Beruas tidak boleh bercakap di luar konteks Kerajaan Perpaduan. Kawasan UMNO, DAP, Amanah (Parti Amanah Negara) bercakap benda yang sama. Itu maknanya perpaduan. Kalau saya cakap A, DAP cakap B, Amanah cakap C, ia tidak melahirkan perpaduan.
"Tujuan konvensyen ini dibuat untuk menggarap, dapatkan satu keputusan bersama di semua peringkat di negeri Perak," katanya kepada Sinar Harian.
Azhar berkata, biarpun persefahaman dan kesepaduan di antara parti-parti di Perak belum teruji, namun usaha mencari kebersamaan harus disokong bagi memastikan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri lancar.
Jelasnya, perkara paling penting semua pihak khususnya pimpinan parti-parti Kerajaan Perpaduan ini perlu bergerak berpandukan acuan Perlembagaan Persekutuan.
"Di Perak ini aman damai. Jangan usik perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Kalau diusik, akan ada orang lain yang akan ambil kesempatan.
"Seharusnya apabila kita sudah bersama, isu 3R berkaitan agama, bangsa dan raja-raja Melayu jangan usik kerana ia akan mengeruhkan lagi keadaan serta sokongan rakyat," katanya.
Dalam pada itu, Azhar turut yakin kerjasama BN dengan PH akan terus kekal bukan sahaja sehingga tamat penggal tetapi akan bersama di dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Katanya, paling penting, UMNO harus diberikan peranan dominan di kawasan majoriti Melayu dengan mengekalkan kerusi-kerusi ditandingi sebelum ini.
"Kita tidak akan ada kerjasama yang lain. Ini keputusan muktamad. Kita terus akan bersama dengan kerajaan perpaduan BN-PH.
"Inilah keputusan kita selagi mana Majlis Kerja Tertinggi UMNO tidak buat keputusan lain dan kita akur dengan keputusan pimpinan. Prinsip berjemaah kita akur dengan keputusan parti jika tidak keluar lebih baik keluar," katanya.
Konvensyen Kerajaan Perpaduan Perak akan berlangsung pada 28 Januari ini dengan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!