Thaipusam: Rondaan Aman setiap lapan jam di Batu Caves
GOMBAK - Polis membuat rondaan aman setiap lapan jam bagi mengawal keselamatan dan ketenteraman awam sempena sambutan Thaipusam di Batu Caves di sini pada Khamis.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala berkata, rondaan berkenaan adalah untuk satu shif penugasan.
"Kita menjangkakan lebih ramai pengunjung akan hadir ke Batu Caves, esok (Khamis), saya meminta orang ramai yang hadir agar berwaspada dan menjaga barang berharga masing-masing.
“Saya berharap sambutan Thaipusam pada esok berjalan lancar dan tiada sebarang insiden yang tidak baik berlaku,” katanya selepas beramah mesra bersama pengunjung di Batu Caves di sini pada Rabu.
Pada Isnin lepas, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilapor berkata, 1,600 pegawai dan anggota ditugaskan bagi memastikan kelancaran sambutan serta keselamatan orang ramai.
Beberapa pusat kawalan statik disediakan bagi memudahkan pengunjung mendapatkan perkhidmatan dan membuat laporan polis.
Bagi mengelakkan kesesakan, orang ramai yang menyambut perayaan itu dinasihati supaya menggunakan pengangkutan awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!