Polis buru suspek lepaskan tembakan ke arah anggota

Muhamad Zaki (kiri) menunjukkan kesan tembakan pada kereta yang dinaiki anggota polis.
Muhamad Zaki (kiri) menunjukkan kesan tembakan pada kereta yang dinaiki anggota polis.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan memburu suspek yang dipercayai melepaskan satu das tembakan ke arah anggota dalam kejadian di Jalan Raja Perempuan Zainab 2 di sini pada Selasa.

Kejadian jam 3.30 pagi itu tidak mendatangkan sebarang kecederaan kepada anggota bertugas kecuali kenderaan pasukan mengalami kerosakan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita yang memberitahu rumahnya cuba dipecah masuk di Panji.

"Hasil aduan wanita tersebut pihak kami telah mengarahkan pasukan yang membuat rondaan supaya mengesan sebarang pergerakan yang mencurigakan di kawasan terbabit.

"Anggota berkenaan telah mengesan sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipandu dalam keadaan mencurigakan," katanya semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan pada Rabu.

Muhamad Zaki (kanan) menunjukkan kereta yang dinaiki suspek yang berjaya ditemukan di Taman Desa Rahmat, Kubang Kerian.
Muhamad Zaki (kanan) menunjukkan kereta yang dinaiki suspek yang berjaya ditemukan di Taman Desa Rahmat, Kubang Kerian.

Menurut beliau, susulan itu anggota bertugas telah bertindak mengejar kenderaan tersebut.

Ujarnya, semasa dikejar oleh anggota bertugas, penumpang sebelah kiri hadapan kereta terbabit telah mengeluarkan objek menyerupai pistol.

Artikel Berkaitan:

"Anggota yang bertugas kemudian mendengar dentuman yang kuat pada cermin hadapan sebelah kanan kereta jenis Proton Preve," katanya.

Tambah beliau, kereta dinaiki suspek berjaya ditemukan di Taman Desa Rahmat, Kubang Kerian, namun suspek telah melarikan diri.

Ujarnya, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39(a) Akta Senjata Api 1960.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kes jenayah dan boleh berhubung dengan Pusat Kawalan IPK Kelantan di talian 09-7455555.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!