Polis laksana serbuan dadah di Pangsapuri Rebana, jawab tohmahan tular di media sosial
KLANG - Polis telah menjalankan serbuan dan tangkapan kes dadah di kawasan Pangsapuri Rebana di sini, sejak tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, tindakan diambil Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara menerusi Ops Tapis Khas dan Ops Tapis Harian.
Menurutnya, pada tahun lalu, sebanyak 40 kes dan 45 tangkapan direkodkan di lokasi terbabit.
"Tahun ini setakat 23 Januari, sebanyak tujuh serbuan dan tangkapan dibuat ke atas penagih dan pembekal dadah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39B akta yang sama.
"BSJN IPD Klang Utara masih giat menjalankan operasi dan pemantauan di sekitar kawasan terbabit bagi memastikan aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah dapat dibanteras," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Vijaya Rao berkata, sehingga hari ini (Rabu), pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis daripada mana-mana pihak berkenaan maklumat pengadu diancam oleh pengedar atau penagih di lokasi terbabit.
Tambahnya, polis memohon kerjasama daripada orang ramai untuk salurkan sebarang maklumat ke balai polis berdekatan atau BSJN IPD Klang Utara.
Pada Selasa, tular hantaran di media sosial X berkenaan luahan penduduk Pangsapuri Rebana yang tidak berpuas hati dengan pihak berkuasa mengenai kes dadah di lokasi itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!