Istana Negara buat laporan terhadap Che'gubard
KUALA LUMPUR - Satu laporan polis dibuat berhubung kenyataan Che'gubard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin berhubung dakwaan tiga wakil Perikatan Nasional (PN) dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa.
Berdasarkan laporan polis yang tular di media sosial, pihak Istana Negara menafikan perkara tersebut dan Chegu Bard didakwa telah mengeluarkan kenyataan tidak tepat berhubung perkara itu.
Laporan tersebut turut memberitahu, kenyataan dibuat Che'gubard itu disedari menerusi video berdurasi 52 saat di aplikasi TikTok pada 22 Januari jam lebih kurang 6 petang, di pejabat Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, satu laporan dibuat di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur pada Isnin jam 8.35 malam.
"Saya selaku wakil daripada pihak Istana Negara menafikan dakwaan lelaki tersebut.
"Ia merupakan satu kenyataan yang tidak tepat," kata laporan itu.
Jelasnya, laporan polis dibuat bagi membolehkan pihak polis mengambil tindakan lanjut berhubung video terbabit.
Video tersebut telah tular di aplikasi media sosial ketika ini.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan laporan polis tersebut.
"Siasatan berhubung kes ini dijalankan oleh pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!