Pekebun sawit dituduh buat tuntutan palsu RM370,000 dari ILDAS

Ahmad Alfiz (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu, bagi menghadapi 20 pertuduhan membuat tuntutan palsu.
Ahmad Alfiz (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu, bagi menghadapi 20 pertuduhan membuat tuntutan palsu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pekebun kelapa sawit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, atas 20 pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM370,000 berhubung tuntutan bayaran kerja Institut Latihan dan Dakwah Selangor (ILDAS) pada tahun 2020 hingga 2022 lalu.

Ahmad Alfiz Md Muklas, 37, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memperdayakan seorang pembantu tadbir (Kewangan) ILDAS, suatu dokumen iaitu invois Sabak Jati Enterprise bagi tuntutan bayaran kerja untuk September 2020 hingga April 2022.

Ia bagi kerja perkhidmatan pembersihan bangunan, pejabat dan membersih kawasan termasuk menyelenggara landskap serta kerja-kerja berkaitan berjumlah RM370,000.

Sedangkan ILDAS mempunyai kepentingan dan mengandungi butir palsu untuk mengelirukan prinsipalnya di ILDAS di Sabak Bernam di sini antara 13 November 2020 dan 12 Mei 2022.

Pertuduhan dibuat Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama, yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.|

Ahmad Alfiz (kanan) hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu, bagi menghadapi 20 pertuduhan membuat tuntutan palsu, berjumlah RM370,000 pada tahun 2020 hingga 2022 lalu.
Ahmad Alfiz (kanan) hadir di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Rabu, bagi menghadapi 20 pertuduhan membuat tuntutan palsu, berjumlah RM370,000 pada tahun 2020 hingga 2022 lalu.

Dalam pada itu, dia turut didakwa atas 20 pertuduhan pilihan iaitu menggunakan dokumen palsu iaitu invois Sabak Jati Enterprise bagi tuntutan bayaran kerja tempoh masa sama dengan jumlah serupa.

Artikel Berkaitan:

Ia bagi kerja yang sama, yang mengandungi salinan kad perakam waktu pekerja sedangkan tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen itu palsu di lokasi dan tarikh sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 kanun keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin manakala peguam, Mohd Baharuddin Ahmad Kassim hadir bagi pihak tertuduh.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM11,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 21 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!