Wanita Indonesia berang, bertindak agresif ditahan JPJ

Wanita warga Indonesia yang bertindak agresif ketika ditahan dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Ops Pewa) di Setapak, di sini, pada Rabu.
Wanita warga Indonesia yang bertindak agresif ketika ditahan dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Ops Pewa) di Setapak, di sini, pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga Indonesia bertindak agresif ketika ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Ops Pewa) di Setapak, di sini, pada Rabu.

Wanita berusia 42 tahun itu didapati menunggang motosikal Honda Wave di Jalan Cempedak, Sentul, di sini pada jam 11.16 pagi.

Ketika pemeriksaan, wanita itu enggan berkerjasama dan memberi pelbagai alasan untuk membawa motosikal tersebut ke pejabat JPJ.

Wanita berkenaan turut meninggikan suara terhadap anggota penguat kuasa serta beberapa kali dilihat cuba melarikan diri, namun berjaya dihalang dan dibawa ke pejabat JPJ Kuala Lumpur.

Semasa disoal siasat di pejabat JPJ Kuala Lumpur, wanita itu mengakui dia tidak memiliki sebarang dokumen termasuk lesen memandu yang menyebabkan dia bertindak agresif.

Mohd Zaki melihat motosikal yang disita dalam Ops Pewa, di sini, pada Rabu.
Mohd Zaki melihat motosikal yang disita dalam Ops Pewa, di sini, pada Rabu.

"Saya sudah dua tahun di Malaysia dan bekerja di sebuah syarikat pembersihan sejak setahun lalu.

"Saya beli motosikal ini daripada orang (warga) Pakistan pada harga RM1,500 yang dibayar tunai,” katanya yang berasal dari Madura, Indonesia.

Artikel Berkaitan:

Dia adalah satu-satunya wanita daripada 71 warga asing ditahan dalam Op Pewa yang bermula jam 9 pagi dan berakhir 12 tengah hari.

Sementara itu, Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata, kebanyakan mereka yang ditahan itu adalah penjual roti bermotosikal, penghantar barangan dapur dan penghantar besi buruk.

"Antara individu yang ditahan itu adalah dari Pakistan, Myanmar, India, Bangladesh dan Indonesia," katanya.

Mohd Zaki berkata, 125 kenderaan diperiksa dengan 566 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, salah guna lesen kenderaan motor, tiada insurans serta kesalahan teknikal.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, kami menyita 84 kenderaan membabitkan 77 motosikal, empat kereta dan tiga kenderaan barangan (lori).

"Operasi itu membabitkan 70 anggota penguat kuasa JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan tujuh anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang dijalankan di 10 lokasi termasuk Sri Rampai, Sentul, Wangsa Maju dan Setapak,” katanya.

Mohd Zaki berkata, Ops Pewa merupakan salah satu fokus dibawah Pelan Strategik Penguatkuasaan JPJ Malaysia.

"Setiap bulan kita melaksanakan Ops Pewa berdasarkan perancangan Bahagian Penguat Kuasa JPJ WPKL.

"Ops Pewa fokus kepada pemandu warga asingmenggunakan kenderaan persendirian yang diubahsuai untuk kegunaan perniagaan serta kesalahan memandu tanpa lesen," katanya.

Mohd Zaki berkata, terdapat segelintir rakyat Malaysia yang bekerjasama dengan warga asing dan membenarkan atau menyewa kenderaan kepada golongan tersebut.

"Tindakan juga dikenakan kepada pemilik berdaftar kerana membenarkan pemandu tanpa lesen dan salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi tujuan

perniagaan.

"Pemandu warga asing tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah akan diserahkan kepada pihak JIM untuk tindakan lanjut," ujarnya.

Beliau berkata, penguatkuasaan itu juga bertujuan menyasarkan pengurangan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya bagi mencapai penurunan lima peratus setahun.

"Di samping itu juga peningkatan tahap 'perception of being caught' dalam kalangan pengguna jalan raya dapat dipertingkatkan sepanjang operasi berlangsung," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!