Jawatan Menteri Pendidikan milik parti Bersatu
SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) tidak perlu mengadakan mesyuarat bagi memilih Menteri Pendidikan yang baharu kerana penyandangnya, Dr Maszlee Malik adalah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ketua Penerangan Bersatu, Dr Radzi Jidin berkata, beliau membuat pengumuman itu susulan tindakan beberapa pihak yang secara terbuka mencadangkan nama calon tertentu bagi mengisi kekosongan jawatan tersebut.
Menurutnya, terdapat juga pihak yang mencadangkan pelantikan itu dibincangkan pada mesyuarat PH.
"Menurut Perkara 43(2)(6) Perlembagaan Persekutuan atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik menteri daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen.
"Ini bermakna adalah menjadi prerogatif atau hak budi bicara Perdana Menteri untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong tentang pelantikan seorang menteri. Ini juga bermakna, bukanlah menjadi keperluan untuk Perdana Menteri membincangkan pelantikan seorang menteri dalam mana-mana mesyuarat khusus melainkan beliau sendiri berpandangan sedemikian," katanya dalam satu kenyataan.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Lebih baik PH bincang bersama pengganti Dr Maszlee'
Radzi berkata, penyandang jawatan itu adalah daripada parti Bersatu maka tidak wujud keperluan PH untuk bermesyuarat bagi memilih pengganti.
Oleh demikian, katanya, semua pihak mestilah menghormati prerogatif atau hak budi bicara Perdana Menteri berkaitan perkara tersebut.
"Bersatu berdiri teguh bersama Perdana Menteri dalam apa juga keputusan berhubung pelantikan Menteri Pendidikan baharu demi kemajuan pendidikan negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!