Hujan lebat, air pasang punca banjir kilat di Terengganu
KUALA TERENGGANU - Banjir kilat melibatkan beberapa kawasan sekitar daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus pada Selasa berlaku ekoran hujan lebat yang berterusan melebihi 100 milimeter (mm) beserta fenomena air laut pasang.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Hanafiah Mat berkata, aliran air tidak mengalir lancar ke laut disebabkan berlaku pertembungan dengan air pasang.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan beberapa kawasan perumahan dan laluan di jalan utama khususnya yang berada di kawasan rendah dinaiki air bermula pagi Selasa.
"Pejabat Daerah Kuala Terengganu telah mengambil langkah segera dengan mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengenal pasti sistem saliran dan perparitan yang tersumbat. Kerja-kerja penyelenggaraan juga akan dilaksanakan segera.
"Kita juga akan mengadakan post mortem selewat-lewatnya minggu depan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian banjir kilat yang berlaku Selasa lalu," katanya ketika dihubungi di sini, pada Rabu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, keadaan banjir kilat yang berlaku pada Selasa dilihat lebih teruk berbanding sebelum ini kerana terdapat kawasan bebas banjir turut dinaiki air.
Jelas beliau, antara kawasan terjejas melibatkan kawasan tanah rendah yang tiada laluan air dan menjadi lokasi air bertakung.
"Saya telah hubungi JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) serta pegawai daerah untuk dilakukan siasatan lebih terperinci untuk mengetahui dengan lebih tepat punca lain yang mungkin ada tetapi tidak dikenal pasti sebelum ini.
"Setakat ini saya difahamkan, kawasan yang tidak mempunyai sistem saliran yang lancar dan isipadu air yang tinggi tidak dapat ditampung oleh parit yang ada lebih memburukkan keadaan tambah dengan fenomena air laut pasang," katanya.
Menurut Azmad, beberapa cadangan pembinaan dan penambahbaikan parit sudah di kemukakan ke peringkat Persekutuan namun belum untuk pelaksanaan.
"Sebahagian lagi melibatkan pembinaan kolam tadahan dan pemasangan pam air untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di Jalan Kamaruddin dan Taman Nirwana yang melibatkan peruntukan sangat besar.
"Ianya belum mendapat kelulusan untuk permohonan di peringkat Persekutuan," katanya.
Aliran trafik di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu menghala ke pusat bandar mengalami kesesakann tiga jalan utama ditutup setelah dinaiki air dalam pada Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!