Penganjur Himpunan Selamatkan Rakyat jangan ‘play victim’ - Saifuddin
PUTRAJAYA - Penganjur Himpunan Selamatkan Rakyat di luar pintu Istana Negara pada Selasa diingatkan agar tidak ‘play victim’ apabila dipanggil pihak polis bagi menjalankan siasatan selanjutnya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ia berikutan Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA12) yang mempunyai tiga bahagian penting iaitu tanggungjawab pihak penganjur, polis dan peserta perhimpunan.
Menurutnya, pihak penganjur perlu bertanggungjawab memaklumkan kepada polis untuk memudahkan aktiviti perhimpunan.
“Pihak penganjur jelas gagal menuruti syarat yang diperuntukkan.
“Fakta itu tidak berubah. Jadi, kalau tidak memaklumkan kepada polis, maksudnya dia tidak mematuhi dengan akta tersebut dan itu mengundang tindakan polis.
“Pihak penganjur tak boleh ‘play victim’ sebab keengganan mereka untuk melakukan perkara yang paling asas iaitu gagal memaklumkan,” katanya ketika sidang akhbar di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini pada Rabu.
Tambah Saifuddin, tanggungjawab polis dalam istana itu pula seharusnya memaklumkan permohonan penyerahan memorandum rakyat yang dilakukan wakil peserta perhimpunan berkenaan.
Ujarnya, pegawai Istana Negara membuat laporan polis pada Selasa, beberapa jam sebelum perhimpunan tersebut berlaku.
“Secara jelas, selama aduan itu dimaklumkan bahawa pihak istana tidak pernah disebut sebagai memberi perkenan untuk wakilnya masuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika hebahan dilakukan,” jelasnya.
Selain itu, menurut beliau, kerajaan juga tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk melakukan perhimpunan aman di negara ini.
Tambahnya lagi, sebanyak 78 perhimpunan aman diadakan di seluruh negara sepanjang diterajui Kerajaan Perpaduan.
“Kalau ada lagi pihak yang mengatakan kebebasan bersuara disekat, itu tidak betul. Tiada yang percaya kerana mereka (orang ramai) bebas membuat perhimpunan dan apabila disiasat, pendekatan yang dilakukan lebih kepada memberi nasihat serta teguran.
“Tapi apabila ia sudah melampaui batas, seumpama mengheret sama nama institusi istana. Saya percaya polis akan ambil tindakan sewajarnya,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!