Bekas pegawai MOT didakwa terima suapan RM2,300

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas penolong setiausaha di Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Rabu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan menerima suapan wang berjumlah RM2,300, empat tahun lepas.

Tertuduh, Mohd Hafiz Ahmad, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Mohd Hafiz selaku Penolong Setiausaha Gred M44 ketika itu, didakwa menerima wang tersebut menerusi tiga transaksi daripada pengurus komersial Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd, yang diketahui mempunyai hubungan dengan tugas rasminya.

Bapa empat anak itu didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di sebuah cawangan bank di Jalan Ipoh di sini masing-masing pada 20 Februari, 15 April dan 21 Mei 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan di bawah Akta 574 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zahariman Keman mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM berhampiran setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Datuk Hazman Ahmad memohon jaminan sebanyak RM5,000 atas alasan tertuduh penanggung utama keluarga.

Hakim Azura membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Mac depan bagi sebutan kes. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!