Seminar pelaburan diserbu, 11 dalang sindiket ditahan
IPOH - Satu sindiket pelaburan mata wang kripto tidak wujud tumpas dengan penahanan 11 individu dipercayai dalang kumpulan itu, Sabtu lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua mereka berusia antara 30 hingga 50 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di sini semasa menganjurkan seminar pelaburan.
Menurutnya, suspek terdiri daripada sembilan warga tempatan termasuk dua wanita bersama dua lelaki warga Filiphina itu bertindak sebagai penganjur, penaja, penceramah dan ejen mencari pelanggan yang giat mempromosikan skim pelaburan di seminar berkenaan.
"Hasil risikan dan penyamaran dijalankan mendapati, sindiket yang menggunakan nama D'Luxe ini menawarkan skim pelaburan dalam urus niaga kripto kepada 55 peserta.
"Pelbagai pakej urus niaga ditawarkan dalam seminar tersebut dengan nilai 20 USDT (RM94.58) hingga 10,000 USDT (RM47,287.68) dan janji pulangan antara 0.5 peratus sehingga 2.2 peratus setiap hari mengikut kadar modal," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Rabu.
Hadir sama, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri.
Ramli berkata, semua peserta seminar yang hadir merupakan warga tempatan berusia 40 hingga 60 tahun dan tidak menyedari bahawa platform dalam talian diwujudkan itu adalah perangkap untuk memperdaya pelabur.
"Mereka yang hadir tidak dikenakan bayaran, diberikan makan percuma, disediakan hadiah serta dikaburi dengan kereta-kereta mewah untuk memancing minat, menunjukkan bahawa perniagaan mereka wujud dan berjaya," katanya.
Kata beliau, sindiket yang mula aktif sejak awal Januari itu turut menggunakan sistem kecerdasan buatan (AI) kononnya bagi membantu pelabur mendapatkan keuntungan dalam urusniaga secara mudah dan cepat.
"Dalam serbuan itu, turut dirampas beberapa telefon bimbit, komputer riba, tab, skrip, gegantung dan enam kenderaan pelbagai jenis.
"Kesemua suspek direman sehingga esok (Khamis) bagi siasatan di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menipu," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ramli berkata, polis berjaya menahan tiga lelaki warga tempatan susulan kes perdaya seorang pengarah sebuah syarikat di Selangor membabitkan kerugian RM12 juta pada 2022 lalu.
Katanya, kesemua suspek berusia 35 hingga 55 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Klang dan Pahang pada awal pagi Rabu.
"Polis turut merampas mata wang kripto berjumlah 54,996.8 USDT dengan nilai anggaran semasa RM259,955.80. Tangkapan susulan akan dibuat bagi mengesan suspek yang masih bebas," katanya.
Media melaporkan, mangsa berusia 43 tahun itu diperdaya menyertai pelaburan mata wang kripto ‘CCDG’ dengan janji pulangan keuntungan sehingga 50 peratus dalam tempoh dua bulan.
Mangsa yang dipercayai menjadi ejen pelaburan itu bersama empat warga China melaburkan AS$2.7 juta (RM12 juta) dengan bayaran dibuat melalui e-wallet kripto kepada beberapa akaun tempatan.
Bagaimanapun, mangsa tidak mendapat pulangan dijanjikan sehingga Oktober tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!