Lantikan kontrak penjawat awam baharu tingkat pengangguran

Razali
Razali
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan kerajaan mahu melaksanakan pengambilan penjawat awam baharu secara lantikan kontrak hanya akan meningkatkan kadar pengangguran dan mampu menyebabkan sektor swasta dalam negara menjadi lesu.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, pencari pekerjaan menjadi semakin tertekan kerana sudah tiada lagi pilihan utama dan menarik dalam sektor awam, sekali gus membayangkan peningkatan pengangguran meningkat secara mendadak bermula Februari depan.

Menurutnya, ia juga akan menyebabkan tawaran sektor swasta lesu dan syarikat berhati-hati dalam perbelanjaan pengurusan serta operasi perniagaan masing-masing.

“Isu lantikan doktor, guru dan pegawai awam kontrak berkhidmat selama puluhan tahun mempunyai peluang tipis untuk ditawarkan sebagai kakitangan tetap kerana birokrasi yang kononnya selari dengan konsep Malaysia Madani dilihat gagal dikuatkuasakan.

“Malah, tawaran MySTEP juga gagal kerana ramai pencari pekerja beranggapan gaji terlalu rendah bermula RM2,100 bagi pemegang ijazah, RM1,900 untuk diploma serta RM1,700 ke bawah buat lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Ia jelas tidak selari dengan kelangsungan kos sara hidup masa kini walaupun ada potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), cerita lama pun belum selesai apatah lagi nanti ada pengambilan kakitangan awam kontrak yang berterusan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau mengulas tindakan kerajaan untuk mengambil penjawat awam secara lantikan kontrak selepas pengumuman tersebut dibuat oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz menerusi satu pekeliling.

Inisiatif kaedah baharu itu akan diperkenalkan dan sedang dalam fasa pindaan kepada undang-undang berkaitan serta ia dilihat mampu mengurangkan tanggungan fiskal negara untuk tempoh jangka masa panjang.

Artikel Berkaitan:

Razali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal memaklumkan, buat masa ini, kadar pengangguran berada pada paras 3.3 peratus iaitu 569,200 orang dan ia dijangka meningkat mendadak berikutan langkah yang agak menguncup bagi sektor awam.

Tambah beliau, harapan dan jaminan pekerjaan seolah-olah tidak kelihatan lebih-lebih lagi dalam sektor awam ketika pemerintahan era Kerajaan Perpaduan.

“Falsafah Madani telah mati, sudah tiada lagi elemen insaniah yang dapat menggambarkan harapan kepada pencari pekerjaan rakyat Malaysia.

“Saya bimbang pengambilan pegawai atau kakitangan awam baharu ini terencat, khuatir berlaku pengurangan jangka panjang dalam kalangan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) iaitu pegawai kanan atau elit yang menguruskan pentadbiran eksekutif negara.

“Situasi sekarang perlu diambil perhatian serius kerana saya bimbang mungkin berlaku penghakisan hak-hak pentadbiran utama yang perlu dipertahankan dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya lagi.