Derita di sebalik senyuman...
MACHANG - Petah berkata-kata dan tidak lokek dengan senyuman, Wan Ainun Mardhiah Wan Saipul Syahriza, 4 tahun, pasti menarik hati sesiapa sahaja yang bertemunya.
Siapa sangka, di sebalik senyuman itu, dia menghidap tiga penyakit kronik iaitu spina bifida atau tulang belakang bengkok, hydrocephalus (lebihan cecair dalam kepala) dan buah pinggang bengkak ini dikesan mengalami masalah kesihatan tersebut sejak dalam kandungan ibunya dan telah menjalani empat pembedahan sejak lahir.
Ibunya, Hasnizan Mohd Salleh, 37 berkata, akibat penyakit tersebut, Wan Ainun Mardhiah dari Kampung Rengas, dekat Tok Bok di sini tidak dapat berjalan dan membuang air kecil dengan sempurna serta perlu disedut setiap tiga jam.
Katanya, anak bongsu daripada tiga beradik tersebut hanya mampu mengengsot untuk bergerak dan bergantung sepenuhnya kepada ahli keluarga bagi menguruskan.
Tambahnya, bagi memastikan tumbesarannya berjalan dengan baik, doktor turut menyarankan Wan Ainul Mardhiah diberi susu khas.
"Disebabkan dia banyak berbaring, tulang belakangnya yang bengkok luka dan perlu dicuci setiap hari bagi mengelakkan jangkitan kuman. Kami juga sering berulang alik ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan Klinik Kesihatan Labok bagi mendapat rawatan. Bagi memudahkan pergerakannya, kami memerlukan kerusi roda khas untuk kanak-kanak memandangkan yang sedia ada terlalu besar.
"Setiap bulan saya perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM600 sebulan untuk kos kesihatannya dan kami bersyukur apabila menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM350 sebulan bagi menampung kos tersebut," katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh salurkan ke akaun BSN 0301341000126200 milik Hasnizan Mohd Salleh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!