Ukraine tembak jatuh pesawat bawa 65 tawanan perang?
MOSCOW - Rusia memaklumkan tiada penumpang terselamat dalam kejadian nahas pesawat berhampiran sempadan Ukraine pada Rabu.
"Kesemuanya disahkan terkorban," kata Gabenor Wilayah Belgorod, Vyacheslav Gladkov sambil menambah amaran misil ada dikeluarkan, namun tidak dapat dipastikan jika ia ada kaitan dengan tragedi itu.
Terdahulu, Moscow memberitahu pesawat pengangkut tentera, IL-76 itu membawa seramai 65 tawanan perang terdiri daripada askar Ukraine.
Sebuah rakaman tidak dapat disahkan di media sosial turut menunjukkan sebuah pesawat menjunam dari ruang udara di Belgorod sebelum terhempas di daerah Korochansky dan meletup seperti bebola api.
Sementara itu, Pengerusi Duma Negara, Vyacheslav Volodin mendakwa pesawat itu telah ditembak jatuh oleh Kiev menggunakan misil dibekalkan Barat.
"Mereka sengaja tembak askar sendiri. Juruterbang kami yang terlibat misi kemanusiaan turut terkorban," katanya ketika sesi pleno.
Menurutnya, pasukan penyiasat dan perkhidmatan kecemasan telah dikerahkan ke lokasi kejadian. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!