Adunan tersendiri Malaysia
BARAT perlu henti mengajar negara lain dan menghormati serta melayan negara-negara kecil dengan lebih adil. Malah, negara-negara bekas penjajah juga perlu berhenti mengajar bekas jajahan mereka cara mengurus hal ehwal dalaman negara bekas jajahannya.
Bukan sahaja dalam pentadbiran negara, kuasa Barat ingin mengawalnya, malah dalam norma lazim kehidupan seharian pun pihak Barat mahu menyucuk hidung negara kecil agar mengikuti cara mereka. Mungkin zaman penjajahan secara fizikal berlalu, namun kuasa besar itu masih ingin ‘menjajah’ fikiran.
Umpamanya, dalam isu-isu berhubung hak asasi manusia, neraca hak asasi manusia yang mereka mahukan adalah neraca dari Barat dengan membuang nilai dan ajaran agama daripada lensa hak asasi manusia sedangkan nilai dan norma agama tersebut sudah sebati dengan kehidupan masyarakat Islam arus perdana di Malaysia.
Namun, yang lebih menyedihkan terpaku dengan nilai logik yang tinggi, segelintir umat Islam terpengaruh dengan kemampuan fakulti akal dalam menyelesaikan sesuatu isu dengan meminggirkan nilai agama.
Sesungguhnya golongan itu terpedaya dengan kemampuan akal berbanding dengan kehebatan Pencipta.
Lantaran wujudlah golongan Islam yang mementingkan isu hak asasi manusia berbanding dengan ajaran agama Islam itu sendiri seolah-olah agama Islam begitu zalim tidak memberikan apa-apa hak kepada golongan minoriti berdasarkan kecenderungan dan agama.
Sebenarnya, Islam sendiri mempertahankan hak golongan minoriti selagi mana ia tidak bertentangan dengan dasar agama itu sendiri.
Berbalik kepada isu kuasa Barat yang tidak putus-putus mahu mengajar negara kecil seperti Malaysia, hal ini sangat jelas khususnya semasa Semakan Berkala Sejagat (Universal Periodic Review) yang dilakukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) setiap empat tahun terhadap negara dalam PBB. Semakan tersebut akan menilai prestasi hak asasi manusia acuan Barat dilaksanakan di negara-negara lain.
Segala daya upaya mestilah digarap bagi menghadapi proses semakan tersebut termasuk melobi, memberi pendedahan dan berdialog dengan semua pihak yang terlibat serta menyediakan laporan komprehensif berkaitan hak asasi manusia kepada PBB walaupun semakan terakhir selesai pada tahun 2018.Walaupun terdapat banyak kebaikan dalam Semakan Berkala Sejagat, namun cubaan menyemai sikap liberal, pluralisme agama, sekularisme, menghakis keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang serta banyak lagi ajaran yang begitu asing di bumi Malaysia menjadikan ia medan golongan Islam arus perdana mempersoalkannya.
Memilih
Tidak semuanya dari Barat itu baik belaka dan tidak semuanya dari Barat itu buruk. Oleh itu, biarlah negara sendiri yang memilih yang mana baik untuk disemai di bumi Malaysia dan meninggalkan yang tidak baik.
Janganlah pihak Barat memaksa negara mengambil kesemua yang difikirkan baik oleh Barat untuk dilaksanakan di Malaysia. Apa gunanya sesebuah negara itu mencapai kemerdekaan tetapi masih dikawal oleh kuasa asing.
Oleh itu, negara Barat berhenti mengajar negara-negara kecil mengikut telunjuk mereka. Saranan itu hendaklah dilihat bukan sahaja dari sudut pentadbiran negara tetapi juga isu-isu yang melata dihadapi rakyat Malaysia khususnya umat Islam arus perdana yang mahu mempertahankan jati diri negara yang menjadikan Islam sebagai tunjang kekuatan negara ini.
Sesebuah negara itu berbeza dengan negara lain dari sudut sosioekonomi, sosio legal, geografi, populasi dan banyak lagi. Oleh itu, sesuatu perkara itu mungkin baik di sebuah negara tetapi tidak baik di negara lain. Kepelbagaian mestilah diraikan oleh semua negara.
Mencampuri urusan sesebuah negara lain yang berdaulat boleh diibaratkan seperti memerangi negara tersebut walaupun tanpa menggunakan senjata.
Kepelbagaian antara negara mestilah diraikan bukan dihapuskan dan mempromosi nilai sejagat yang universal.
Sebagaimana kita tidak mahu mengawal negara lain mengikuti budaya kita, kita juga mesti bebas daripada kongkongan kuasa besar. Namun, tanpa kekuatan dalaman amat mustahil kita menerjah segala gangguan tersebut.
Jika kita masih lagi bergaduh dalam isu politik tanpa memberi tumpuan kepada pembangunan negara, meningkatkan daya saing dan berusaha untuk berdiri sendiri selagi itulah kebebasan penuh hanyalah mitos.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!