Yadim main peranan beri kefahaman agenda Malaysia Madani - Mohd Na'im

Mohd Na’im semasa berucap di Majlis Kesyukuran Sempena Sambutan Jubli Emas Yadim di sini pada Rabu. Foto Facebook Yadim
Mohd Na’im semasa berucap di Majlis Kesyukuran Sempena Sambutan Jubli Emas Yadim di sini pada Rabu. Foto Facebook Yadim
A
A
A

PUTRAJAYA - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) perlu terus memainkan peranan sebagai jurucakap di peringkat lapangan khususnya dalam memberikan kefahaman berkaitan agenda membangun Malaysia Madani melalui program yang menarik dan interaktif.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, dalam suasana masyarakat majmuk, Yadim perlu melipat-gandakan usaha untuk menyebarkan nilai-nilai rahmah dan kasih sayang dalam masyarakat.

"Aktiviti serta program kemasyarakatan bersama komuniti merentasi budaya dan agama perlu diteruskan untuk memupuk kerukunan.

"Bibit-bibit perpecahan dan pergeseran dalam masyarakat perlulah ditangani dengan penuh hikmah,” katanya semasa berucap di Majlis Kesyukuran Sempena Sambutan Jubli Emas Yadim di sini pada Rabu.

Mohd Na’im berkata, yayasan dakwah itu juga perlu menjadi tonggak kepada JPM (Hal Ehwal Agama) khususnya untuk menggerakkan badan bukan kerajaan (NGO) Islam agar terus ke hadapan seiring dengan dasar yang dilaksanakan kerajaan.

"Selain itu, Yadim perlu tampil sebagai sebuah ‘universiti’ yang mengeluarkan pendakwah muda berilmu, berakhlak mulia serta bersemangat waja untuk membangunkan negara berteraskan nilai-nilai Madani,” katanya.

Mohd Na’im berkata, sejak penubuhannya 50 tahun lepas, Yadim berada di lapangan menjadi payung dan penggerak kepada usaha dakwah serta menjalankan kerja-kerja penyelarasan badan dakwah NGO Islam di Malaysia.

"Pelaksanaan program yang berimpak tinggi dengan pendekatan yang strategik, nyata telah melonjakkan peranan Yadim di peringkat nasional dan antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

"Aspek pendidikan, sosial dan kebajikan, ziarah dakwah termasuk di pedalaman sentiasa diberikan perhatian oleh barisan pengurusan dan penggerak YADIM,” katanya dan berharap seluruh warga yayasan dakwah itu untuk terus berusaha untuk tampil sebagai institusi yang melestarikan dakwah Madani. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!