Jom serbu Jualan Gudang Karangkraf
SESI temu mesra bersama tiga penulis novel terkenal dan jualan al-Quran dengan pelbagai inovasi berbeza menjadi antara keistimewaan buat pengunjung hari pertama Jualan Gudang Karangkraf 2024 hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, sempena hari pembukaan itu, penggemar novel berpeluang untuk bertemu dengan barisan penulis seperti Aini Bakar (K-Lit: Koyak), Normaliza Mahadi (Sebelum Berdua) dan Fazrul Ismail serta Ustaz Tirmizi Ali (Yang Bertakwa Pasti Berjaya).
Menurutnya, Jualan Gudang Karangkraf menyajikan jualan pelbagai naskhah al-Quran dengan inovasi dan saiz berbeza memandangkan Karangkraf merupakan antara syarikat penerbitan al-Quran terbesar di negara ini.
“Kita ada bermacam-macam jenis al-Quran bersaiz kecil sehingga besar seperti Mushaf al-Imam dan Multazam A4, tujuannya untuk menarik seisi keluarga membaca al-Quran.
“Memandangkan sudah menghampiri bulan puasa, orang ramai boleh membelinya lebih awal selain rehal atau beg. Jadi, pada kali ini kita buat persiapan #RoadToRamadan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Jualan Gudang Karangkraf 2024 bakal berlangsung selama 10 hari bermula 25 Januari hingga 4 Februari ini dengan pelbagai aktiviti menarik.
Pengunjung juga bakal menerima potongan diskaun sebanyak 80 peratus bagi tajuk buku terpilih dan cabutan bertuah yang bernilai sehingga RM1,500.
Dalam pada itu, Firdaus turut berharap agar ibu bapa dan seluruh keluarga memanfaatkan cuti umum serta hujung minggu untuk hadir memeriahkan acara pertama anjuran Karangkraf bagi tahun ini.
“Saya harap ibu bapa ambil peluang ini untuk datang ke Jualan Gudang Karangkraf 2024 di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 dan belikan bahan bacaan untuk anak-anak di rumah.
“Insya-ALLAH sambutan kali ini akan lebih memberangsangkan kerana penyertaan pelajar sekolah rendah di Selangor dijangka sangat ramai, jadi kita amat mengalu-alukan kedatangan warga sekolah ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!