Zii Jia ketuai kemaraan pemain negara di Indonesia Masters
PEMAIN perseorangan negara, Lee Zii Jia kembali mempamerkan karakter melawan tinggi apabila mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Indonesia Masters pada Rabu.
Dalam aksi pusingan pertama di Istora Senayan, pemain nombor 10 dunia itu ternyata diberikan tentangan sengit ketika berdepan jagoan India, Srikanth Kidambi.
Kidambi berstatus pemain nombor 25 dunia yang ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama di Terbuka India sebelum ini bermula garang apabila menang set pertama 21-19 dalam pertarungan sengit.
Bagaimanapun set kedua Zii Jia yang terkandas di suku akhir kejuaraan Super 750 di New Delhi sebelum ini kembali bangkit menyaingi lawan untuk menang 21-14 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
Set ketiga, Zii Jia yang menyingkap permulaan musim Siri Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) - Terbuka Malaysia dengan langkah kiri apabila terkeluar seawal pusingan pertama - mendapat semula keyakinan meninggalkan jauh Kidambi untuk menang 21-11 dalam masa 54 minit.
“Sejujurnya satu perlawanan yang sukar dengan keadaan dihadapi, saya cukup berpuas hati prestasi saya...
“Sasaran utama adalah untuk layak ke Sukan Olimpik dan setiap orang mempunyai tekanan masing-masing dan saya perlu mencari jalan untuk mengatasi tekanan itu,” kata Zii Jia.
Zii Jia yang mara dalam dua perlawanan akhir Siri Jelajah BWF musim lalu - Terbuka Artik dan Terbuka Denmark - akan berdepan pemain Hong Kong, Angus Ng Ka Long di pusingan kedua.
Seorang lagi, pemain negara, Leong Jun Hao meneruskan momentum positif selepas bermula baik dari pusingan kelayakan apabila menewaskan pemain Jepun, Kenta Nishimoto straight set, 21-17, 21-17 dalam masa 46 minit bagi berdepan bintang tuan rumah Anthony Sinisuka Ginting.
Beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi juga tidak berdepan masalah mara apabila menewaskan wakil Czech Ondřej Kral-Adam Mendrek, 21-11, 21-10 dalam masa 31 minit sekali gus berdepan Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dari Indonesia di pusingan kedua.
Satu lagi beregu lelaki negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri juga mara selepas menewaskan pemain Taiwan, Wei Chun Wei-Wu Guan Xun 21-16, 21-18 dalam masa 33 minit untuk berdepan Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard (Denmark) di pusingan kedua.
Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah pula mengambil masa 34 minit bagi mengetepikan Keng Shu Liang-Zhang Chi dari China.
Satu lagi beregu wanita, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien turut mara selepas mendapat bye akan berdepan pilihan nombor tujuh, Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China di pusingan kedua.
Sementara itu, beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei memulakan kempen langkah kanan apabila tidak perlu bermandi peluh selepas lawan dari Taiwan, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin menarik diri.
Tang Jie-Ee Wei akan berdepan Chan Peng Soon-Cheah Yee See tidak berdepan masalah menang straight set ke atas beregu dari Amerika Syarikat, Vinson Chiu-Jennie Gai, 21-17, 21-11 dalam masa 34 minit.
Turut sama mengesahkan kemaraan Tan Kian Meng-Lai Pei Jeng yang diberikan tentangan sengit biarpun menang set pertama 21-19, apabila tewas set kedua 18-21 sebelum bangkit 21-19 ke atas wakil Denmark, Mathias Thyrri-Amalie Magelund dalam masa 65 minit.
Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie juga mara selepas menjinakkan beregu dari Thailand, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat, 21-15, 21-15 dalam masa 31 minit bagi menempah slot menentang wakil Korea Selatan, Kim Won-ho-Jeong Na-eun.
Won-ho-Jeong Na-eun sebelum itu menewaskan pemain negara, Choong Hon Jian-Go Pei Kee yang memulakan set pertama dengan kemenangan 21-19.
Bagaimanapun Hon Jian-Pei Kee gagal mempertahankan pendahuluan setelah tewas dua set berikutnya, 28-30, 13-21 kepada gandingan tersebut dalam masa 70 minit.
Cabaran pemain perseorangan wanita negara, K Letshanaa juga tersekat di pusingan pertama apabila tewas kepada pemain tuan rumah, Putri Kusuma Wardani, 17-21, 12-21 dalam masa 40 minit.
Seorang pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei turut tumbang selepas dijinakkan straight set 9-21, 11-21 kepada pemain China, Han Yue dalam masa 28 minit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!